
KOTA BHARU: “Tak perlu kutip dana nak buat kursus kepada kita, Razman pun sudah meminta maaf dan ia merupakan kekhilafan peribadi dia sahaja, bukan pendirian PAS,” kata Kamaruzaman Mohamad.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengulas mengenai keputusan DAP Pulau Pinang yang sedia mencari dana dan sokongan tokoh budaya bagi memberikan pemahaman nama keluarga Cina kepada ahli dan pemimpin PAS.
Menurutnya, DAP dilihat mahu menghangat isu membabitkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria mengenai latar belakang nama keluarga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh walaupun sudah meminta maaf.
“Jadi bagi saya ini merupakan suatu kenyataan yang sinis, sebenarnya dia buat kenyataan sinis untuk memperli PAS terhadap isu-isu membabitkan tahap toleransi kita bersama kaum bukan-Islam di negara ini.
“Sedangkan kita (PAS) sebuah parti yang amat mementingkan toleransi antara kaum dan agama, lihat apa yang dilakukan di Kelantan selama ini, mari belajar di Kelantan tak perlu buat kursus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha DAP Pulau Pinang mengenai hasrat itu, mengatasi salah faham yang didakwa sering berlaku dalam ahli dan pimpinan PAS.
Kamaruzaman yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok menambah, keharmonian kaum dan agama amat diberi penekanan oleh pimpinan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut mewujudkan jawatan pegawai khas antara kaum di Pejabat Menteri Besar Kelantan, meskipun kaum bukan-Islam merupakan golongan minoriti di negeri tersebut.
Malah ujar beliau lagi, di peringkat 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kawasan Parlimen seluruh negeri turut mempunyai penghulu tanpa mukim yang mewakili suara golongan terbabit.
“Tetapi bagaimana pejabat pentadbiran Menteri Besar sendiri dan peringkat DUN ada penghulu tanpa mukim yang mewakili agama, kaum contoh dalam DUN saya ada penghulu tanpa mukim wakili kaum.
“Walaupun jumlahnya kita kata tidaklah ramai, tetapi bagaimana kerajaan negeri menghormati sehingga mana mengambil wakil kaum ini untuk duduk dalam pentadbiran,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2025











