Islam pasti tentang, bertembung pembawa ideologi sekular

- Advertisement -

TELUK INTAN: Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan, Nurhafizul Badrul Hisham menegaskan bahawa sekularisme adalah fahaman falsafah yang memisahkan urusan dunia daripada agama.

Beliau menjelaskan bahawa istilah sekular berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘saeculum’ yang bermaksud generasi atau dunia yang tiada agama.

“Musuh menterjemah sekular dalam bahasa Arab sebagai ‘Al-‘Ilmaniyyah’. Ia bermaksud memberi kemajuan pada manusia. Istilah ini dipilih untuk mengaburi mata orang Islam agar menerima ideologi songsang ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas matlamat penubuhan DAP iaitu antaranya ‘mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal’.

Nurhafizul turut menambah, istilah yang lebih tepat adalah ‘Al Ladiniyah’ atau ‘Al La’aqidah’, yang bermaksud tiada agama, namun, beliau berkata, jika istilah itu digunakan, umat Islam pasti akan menolaknya.

“Begitulah jahatnya penterjemahan sekular menipu manusia dengan istilah ‘Al-‘Ilmaniyyah’,” tegas beliau.

Beliau juga menyatakan bahawa bagi anak didik sistem sekular, mereka tidak segan silu mendukungnya, termasuk dalam kalangan Muslim kerana mereka telah diprogramkan dengan fahaman sekularisme.

Namun, Nurhafizul menegaskan, ulama-ulama Islam yang memahami hakikat agama Islam bermati-matian menentang penyebaran fahaman itu kerana ia jelas bertentangan dengan agama Islam.

“Atas faktor itu, kita akan terus melihat pertembungan di antara golongan sekular dan kumpulan Islam, lebih-lebih lagi di negara majoriti Muslim seperti Malaysia,” katanya.

Nurhafizul menambah bahawa sekularisme mencarik syariat Islam yang sifatnya menyeluruh dan membawa faham bahawa urusan negara dan mengurus masyarakat tiada kaitan dengan agama.

- Advertisement -

Bidasnya, ia jelas satu pemikiran sesat dan perlu ditentang oleh sekalian orang Islam yang punya iman. – HARAKAHDAILY 3/2/2025

- Advertisement -