Berbahasa sebagai kerajaan, bukannya balaci politik

Boleh peruntuk berbilion ringgit kepada Pulau Pinang, tetapi tidak untuk pesawah

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Isu padi adalah masalah sangat dekat dengan penduduk Kedah selain ia juga keperluan asasi rakyat yang tidak boleh diremehkan dan juga penting kerana berkait rapat dengan keterjaminan makanan negara.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari berkata, beliau sendiri tidak terkecuali sentiasa ditanya oleh rakyat berkenaan kehilangan beras putih tempatan.

“Sehingga mereka perlu membeli beras yang ditukar identiti kepada beras putih import dengan harga yang mahal,” tegas beliau pada kenyataan, di sini.

Kata Mardhiyyah, tuntutan petani untuk menaikkan harga lantai padi pula adalah disebabkan mereka perlu menanggung kenaikan kos pengurusan seperti membajak, menuai dan lain-lain yang agak tinggi.

Kenaikan kos tersebut ujar beliau, berikutan kesan daripada keputusan Kerajaan Madani menghapuskan subsidi diesel.

“Golongan pesawah bekerja bersusah payah memastikan keperluan beras kepada agar rakyat Malaysia boleh makan nasi.

“Tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri pula terpaksa menanggung pelbagai kesusahan termasuk kos-kos jentera yang semakin tinggi.

“Harga padi murah manakala rakyat pula perlu beli beras dengan harga yang mahal. Isu penting namun sudah berlarutan lama tanpa penyelesaian,” tegas Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kedah itu lagi.

Dalam pada itu tambah beliau, rakyat perlu difahamkan bahawa masalah yang dihadapi kini, adalah tanggungjawab di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, bukannya kerajaan negeri.

Namun ujarnya, dalam keterbatasan bidang kuasa dimiliki oleh kerajaan negeri, masih mampu memberikan Beras Sejahtera secara percuma kepada rakyat yang memerlukan, setiap bulan secara konsisten.

Walau bagaimanapun tegas beliau, untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh, kerajaan negeri tidak mempunyai punca kuasa sebesar itu.

“Jika setiap cadangan daripada rakyat sama ada daripada golongan pesawah, badan bukan kerajaan (NGO), mahupun pemimpin yang mentadbir Negeri Jelapang Padi ini ditempelak, dipusing dan sebagainya.

“Malah dijawab dengan alasan mengalih isu itu kepada pihak lain, kalau begitu, bilakah masalah yang berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan ini akan selesai?

“Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu dalam konteks kalian sebagai Kerajaan Persekutuan adalah rakyat kamu juga, dan bersuara bagi pihak para petani dan rakyat yang terbeban,” bidasnya.

Oleh itu tegas Mardhiyyah, paling tidak menteri-menteri Kerajaan Madani dari kalangan Pakatan Harapan (PH), tunjuklah sikap profesional sebagai pemimpin kerajaan yang dahulunya berikrar mahu melaksanakan reformasi dan menyelesaikan isu-isu rakyat.

“Tenang dan bersikap profesional dalam menanggapi kritikan atau cadangan daripada rakyat dan pemegang taruh. Berbahasalah sebagai kerajaan, dan bukannya balaci politik,” bidas beliau lagi.

Jika Kerajaan Madani katanya, boleh menyokong setiap keperluan Pulau Pinang dari membesarkan lapangan terbang bernilai RM 1 bilion sehinggalah projek LRT yang bernilai RM10.5 bilion.

Maka tiada sebab tegasnya, rakyat negeri Kedah serta golongan pesawah seluruh Malaysia tidak berhak mendapat sikap ‘supportive’ atau sokongan yang sama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan. – HARAKAHDAILY 3/2/2025

- Advertisement -