
DEWAN Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM) menegaskan pendirian untuk mengekalkan Jalan Hang Tuah dengan identiti asalnya sebagai warisan Melayu-Islam yang telah bertapak sejak sekian lama.
Sejak kebelakangan ini, desas-desus semakin kuat mengenai cadangan mewujudkan Jonker Walk 2.0 di kawasan Hang Tuah Mall, yang menjadi kontroversi dalam kalangan masyarakat setempat. DAP Melaka terus berkeras dengan cadangan ini, meskipun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak, termasuk peniaga Melayu yang telah berniaga di kawasan tersebut lebih 40 tahun.
Menurut Setiausaha Organisasinya Low Chee Leong berkata, pasar malam seperti Jonker Walk atau Jonker Walk 2.0 itu bagaimanapun bukannya menggunakan nama terbabit, malah peniaga juga terdiri daripada pelbagai kaum dan bukanlah didominasi kaum Cina sahaja.
Namun, hakikatnya, ramai peniaga di Jalan Hang Tuah bimbang bahawa identiti dan budaya Melayu-Islam di kawasan ini akan terhakis, sebagaimana yang berlaku di Jonker Walk yang kini menjadi China Town utama di Melaka.
Melaka telah pun memiliki kawasan khas seperti Little India di Jalan Bendahara dan China Town di Jonker Walk. Oleh itu, keperluan untuk mewujudkan satu lagi kawasan yang boleh menghakis elemen warisan Melayu-Islam adalah sesuatu yang tidak wajar.
Lebih membimbangkan, bukan sahaja rakyat dan peniaga Melayu membantah cadangan ini, malah beberapa exco Kerajaan Negeri turut mempersoalkan kewajaran cadangan ini.
Maka, sewajarnya Kerajaan Negeri Melaka memikirkan cara untuk memperkasakan warisan Hang Tuah Mall dengan keunikan budaya Melayu-Islam, bukannya menukar identitinya kepada sesuatu yang bertentangan dengan warisan asal.
Sebagai penyelesaian, DPPNM mencadangkan agar Hang Tuah Mall dijadikan pusat pelancongan berkonsepkan budaya Melayu-Islam dengan menampilkan makanan tradisional seperti asam pedas dan kuih-muih, kraf tangan seperti batik dan ukiran kayu, seni warisan seperti kaligrafi Jawi, serta promosi pakaian tradisional seperti baju Melayu dan baju kurung, sekali gus memperkukuh identiti Islam dan Melayu di Melaka.
Selain itu, DPPNM juga mencadangkan agar semua papan tanda di seluruh Melaka menggunakan tulisan Jawi sebagai usaha pemerkasaan budaya Islam di negeri ini.
Menjaga dan mempertahankan identiti serta warisan adalah tuntutan Islam yang perlu kita pelihara:
حُبُّ الْوَطَنِ مِنَ الْإِيمَانِ
“Cinta kepada tanah air itu sebahagian daripada iman.”
Mempertahankan identiti Jalan Hang Tuah sebagai pusat warisan Melayu-Islam bukanlah soal perkauman, tetapi satu usaha untuk mengekalkan jati diri dan nilai-nilai Islam yang menjadi asas kepada budaya masyarakat Melayu di Melaka.
DPPNM menyeru agar pihak kerajaan mempertimbangkan semula cadangan Jonker Walk 2.0 ini dan mengambil pendekatan yang lebih adil serta lebih kehadapan dengan memperkasakan budaya Melayu-Islam sebagai aset pelancongan utama negeri ini.
USTAZ ZULHILMI SUBOH
Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 1/2/2025











