
KUALA SELANGOR: Empat kenderaan yang diparkir dalam garaj terbakar dalam kebakaran di Batu 3 Ijok, di sini pada Isnin.
ADUN Ijok, Jefri Mejan berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 3:30 pagi itu turut menyebabkan bahagian dinding dan siling rumah mangsa rosak akibat bahang api.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dua buah kereta dan dua buah motosikal hangus terbakar pagi tadi.
“Saya telah menziarahi beliau serta melihat keadaan kereta dan sekeliling rumahnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Menurut mangsa yang juga Pengurus Tahfiz Pondok, Mohd Hakimi Fhirdaus berkata, beliau terdengar bunyi letupan sebelum menyedari kenderaan miliknya telah terbakar.
“Lebih kurang jam 3:30 pagi tadi, dengar benda meletup-letup, sekali tengok kereta terbakar, apinya dah tinggi sampai sawit itu, dinding dan sedikit siling terbakar.
“Alhamdulilah bomba dapat memadamkan api daripada merebak ke kawasan dapur,” kata Mohd Hakimi.
Sementara itu, Jefri yang hadir ke lokasi kejadian bersama Ketua Polis Balai Bestari Jaya, Sub-Inspektor Norizan Ali, anggota dan jiran tetangga turut menzahirkan simpati kepada mangsa.
“Saya dimaklumkan kes ini masih dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan forensik bomba bagi siasatan selanjutnya.
“Kami hadir untuk bersama mendengar, mendoakan dan berkongsi sedikit rezeki. Bak kata pepatah, ‘Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’,” katanya.
Tambah Jefri, orang ramai boleh berganding bahu dan menyumbang seikhlas hati ke akaun Maybank, 162405172659 (Mohd Hakimi Fhirdaus) untuk meringankan beban keluarga ini.
“Sekecil mana pun sumbangan, besar ertinya bagi mereka yang memerlukan. Semoga usaha kita ini mendapat keberkatan dan ganjaran daripada Allah SWT. ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’,” katanya.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata antara dua kenderaan terbakar itu membabitkan Perodua Bezza dan Perodua Axia.
“Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan mangsa dan punca sebenar kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” kata Ahmad Mukhlis. – HARAKAHDAILY 28/1/2025











