Percuma, diskaun: Jangan guna wang pembayar cukai

Bukan bayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya tidak menggunakan wang pembayar cukai untuk memberi tol percuma atau dengan diskaun bagi musim perayaan dan sewajarnya digunakan untuk tujuan lebih bermakna.

- Advertisement -

Aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan, Shahrim Tamrin menjangkakan sehingga akhir tahun ini kerajaan akan membelanjakan RM640 juta wang pembayar cukai untuk pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya sejak lima tahun lepas.

Menurutnya, kerajaan membelanjakan RM200 juta pada 2023 dan RM190 juta tahun lalu untuk tol percuma musim perayaan dan menyatakan keputusan berkenaan adalah tidak adil kepada golongan rakyat yang pulang ke Sabah dan Sarawak.

Jelasnya lagi, jumlah besar RM640 juta duit pembayar cukai sepatutnya digunakan dengan lebih mampan dan berhemah untuk tujuan lain seperti membeli set kereta api baru atau menambah stok gerabak kereta api ETS atau KTM komuter.

“(Terutama) antara Arau, Butterworth dan Ipoh yang kini mengalami perkhidmatan terhad,” kata Shahrim, yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) selama tiga tahun.

Selain itu kemuka beliau, wang pembayar cukai sepatutnya diguna bagi menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam percuma untuk pelajar menengah dalam menyelamatkan mereka dari bahaya menunggang motosikal ke sekolah.

Atau syor beliau, bagi membeli lebih banyak mesin timbang mudah alih atau ‘weigh-in-motion’ (WIM) untuk membendung masalah lebih muatan kenderaan berat di seluruh negara.

“Kerajaan juga boleh memberi subsidi kepada pengendali sekolah dan bas henti-henti untuk perkhidmatan pengangkutan awam komuniti bandar dan luar bandar, menyelesaikan isu destinasi akhir (first-mile-last-mile).

“(Iaitu) dengan memberi lebih banyak ruang untuk mobiliti mikro dan tambahan perkhidmatan bas pengantara KTM, MRT dan LRT dalam lingkungan 10 kilometer di setiap stesen.

“(Serta) menganjurkan program komunikasi dan kesedaran keselamatan jalan raya di lima daerah paling buruk dengan kematian tertinggi di negara ini,” ujar beliau

Selain itu cadangnya, menambah baik klinik kesihatan atau klinik komuniti yang sedang mengalami banyak masalah, membaiki atau membina beberapa jambatan di Sabah untuk murid-murid pergi ke sekolah.

Termasuk katanya, membaiki atau membina laluan yang lebih baik untuk masyarakat luar bandar dan memberi lebih banyak peruntukan untuk membaiki jalan Persekutuan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Komunikasi celaru Menteri Kabinet

Dalam pada itu, Shahrim tidak menolak kemungkinan kewibawaan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah diganggu berikutan pengumumannya pada 21 Januari 2025, seolah-olah wujud kecelaruan dalam kalangan anggota Kabinet.

“Dan mereka yang bertanggungjawab ke atas komunikasi mengenai keputusan Kabinet yang telah dicapai berkenaan pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya,” ragui beliau.

Katanya, selepas perasmian rasmi Seksyen 2 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) Selasa lalu, Alexander memaklumkan kepada wartawan bahaaa Kabinet telah memutuskan pada tahun lepas bahawa tiada lagi peruntukan tol percuma untuk musim perayaan pada 2025.

“Alexander menyatakan kerajaan sedang mengkaji pendekatan yang lebih bersasar untuk membantu rakyat menggantikan kaedah pemberian tol percuma ketika musim perayaan.

“Sehari kemudian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan keputusan menghentikan pemberian tol percuma semasa perayaan adalah keputusan Kabinet berikutan saranan dan cadangan Menteri Kerja Raya.

“Jelas Zahid, tol percuma pada musim perayaan tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuhraya, malah kerajaan terpaksa membayar pampasan lebih RM35 juta sehari kepada syarikat-syarikat lebuh raya.

“Bagaimanapun, dalam tempoh 48 jam selepas kenyataan Zahid Hamidi dan Alexander, Menteri Komunikasi Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan keputusan Kabinet akan dikaji semula dan keputusan baru bakal dicapai di mesyuarat Kabinet pada dua hari lalu.

“Apabila seorang Timbalan Menteri Kerja Raya membuat pengumuman berlainan sebagai tindak balas kepada kenyataan Menteri Kerja Raya dan Menteri Komunikasi juga menyatakan Kabinet mungkin membatalkan keputusan yang dicapai tahun lepas.

“Para pemerhati tidak akan dapat lari dari bersangka terdapat hubungan tidak serasi atau kecelaruan komunikasi antara menteri dan terdapat sesuatu yang tidak kena di dalam jentera kerajaan.

“Mari kita berdoa dan berharap Kerajaan Persekutuan selepas ini tekad untuk laksana perkara yang tepat dan bernas dan bukannya cenderung ke arah keputusan popular apabila menggunakan duit pembayar cukai,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 27/1/2025

- Advertisement -