Hamas-Israel bertukar tahanan – 204 orang bebas

Mohammed Al-Arida yang dibebaskan oleh Israel melihat ibunya ketika disambut penduduk Palestin di Araba, dekat Jenin, Tebing Barat yang diduduki Israel.
- Advertisement -

BAITUL MAQDIS/KAHERAH/GAZA: Hamas membebaskan empat askar wanita Israel, semalam untuk pertukaran kepada 200 tahanan Palestin.

Namun Israel bertindak kejam apabila kelewatan membebaskan seorang lagi tahanan mendorong pihak berkuasa rejim Zionis menyekat ratusan ribu penduduk Gaza untuk kembali ke kawasan utara.

- Advertisement -

Empat warga Israel yang dibebaskan dalam pertukaran kedua gencatan senjata Gaza selama seminggu dibawa ke podium di Bandar Gaza di tengah-tengah sekumpulan besar rakyat Palestin dan dikelilingi berpuluh-puluh pejuang Hamas. Tebusan melambai dan tersenyum sebelum dibawa pergi, memasuki kenderaan Palang Merah untuk dihantar ke tentera Israel.

Tidak lama selepas itu, bas yang membawa tahanan Palestin yang dibebaskan dilihat berlepas dari penjara tentera Israel, Ofer di Tebing Barat yang diduduki. Perkhidmatan Penjara Israel berkata, semua 200 orang telah dibebaskan.

Pembebasan di kedua-dua belah pihak disambut oleh orang ramai yang bersorak, penduduk Israel berkumpul di Tel Aviv dan Palestin berhimpun di Ramallah.

Namun, kelewatan Hamas membebaskan seorang lagi tahanan, seorang wanita awam Israel, menyebabkan Israel mengumumkan menghentikan rancangan untuk membenarkan rakyat Palestin kembali ke utara Gaza, kawasan yang paling teruk dilanda perang.

Hamas yang menganggap kepulangan penduduk Gaza ke rumah mereka sebagai antara elemen utama gencatan senjata, berjanji akan membebaskan tahanan minggu depan, dan menyifatkan tindakan Israe mengentikan pembukaan semula utara sebagai melanggar gencatan senjata.

Mengikut gencatan senjata, Hamas akan membebaskan 33 wanita, kanak-kanak, warga emas, tahanan yang sakit dan cedera dalam fasa pertama enam minggu. Israel pula akan membebaskan 30 tahanan bagi setiap orang awam dan 50 bagi setiap askar.

Empat askar Israel yang dibebaskan pada hari Sabtu – Karina Ariev, Daniella Gilboa, Naama Levy dan Liri Albag – ditempatkan di pos pemerhatian di pinggir Gaza apabila pejuang Hamas menyerbu pangkalan itu dan menahan mereka semasa serangan 7 Oktober 2023.

Ibu bapa bertepuk tangan dan menangis kegembiraan apabila melihat mereka di skrin, menonton penyerahan secara langsung dari pangkalan tentera berdekatan di seberang sempadan. Di Tel Aviv, ratusan rakyat Israel berkumpul di tempat perhimpunan yang kini dikenali secara meluas sebagai Dataran Tahanan, menangis, memeluk dan bersorak ketika siaran itu disiarkan di skrin gergasi.

Askar wanita berkenaan disatukan semula dengan keluarga mereka dan kemudian diterbangkan menaiki helikopter ke hospital di tengah Israel. Video yang dikeluarkan oleh tentera Israel menunjukkan mereka memeluk erat ibu bapa mereka, dalam senyuman dan air mata.

Menurut senarai yang diterbitkan oleh Hamas, 200 rakyat Palestin yang dibebaskan semalam,turut membabitkan pejuang Palestin, termasuk mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana terlibat dalam serangan maut.

Bagaimanapun, Israel berkata mereka yang disabitkan kesalahan membunuh warga Israel tidak akan dibenarkan pulang ke Gaza dan Tebing Barat. Mengikut pegawai Palestin, kira-kira 70 orang akan dihantar ke Mesir dan dari sana ke negara lain, mungkin Turkiye, Qatar atau Algeria.

Seramai 16 orang dihantar ke Gaza dan baki dibebaskan ke Tebing Barat yang diduduki Israel. Penduduk bersorak yang mengibarkan bendera Palestin berkumpul di Ramallah untuk menyambut mereka. – REUTERS

- Advertisement -