Tekanan daripada ‘singa tua’ jadi faktor?

Menteri 'u-turn' umum diskaun 50 peratus tol

- Advertisement -

SUBANG: Isu perubahan keputusan tol percuma sempena perayaan disifatkan sebagai hasil tekanan daripada pemimpin utama yang digelar ‘singa tua’ dalam kerajaan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir menggunakan perumpamaan, ‘apabila mengaum si singa tua dari atas gunung habis bersepah yang di bawah’ merujuk kepada kesan besar pengaruh politik dimainkan pihak tertentu. 

Roslan menjelaskan, pengumuman awal kerajaan bahawa tol percuma sempena perayaan akan dihentikan selepas Krismas 2024 telah mencetuskan keresahan, terutama menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya, keputusan itu menjejaskan ramai penyokong tegar parti tertentu yang menjadi tulang belakang kerajaan dengan 40 kerusi.

“Takkan beliau membisu apabila kepentingan orang-orangnya terjejas. Nanti memberontak, parah beliau,” katanya merujuk kepada pemimpin yang tidak berada dalam kabinet tetapi tetap berpengaruh. 

“Raja ‘singa tua’ tak perlu duduk dalam kabinet, cukup sekadar mengaum dari atas gunung. Terbukti Menteri pun segera u-turn,” tambahnya.

Susulan itu, kerajaan dilaporkan mengumumkan potongan tol sebanyak 50 peratus bagi kenderaan persendirian sempena Tahun Baharu Cina 2025 pada 27 dan 28 Januari.

Pengumuman itu dilaporkan dibuat oMenteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menyatakan keputusan itu selaras dengan agenda kerajaan campuran untuk menjaga perpaduan rakyat serta kesejahteraan negara. 

Roslan turut berharap agar dasar itu tidak hanya menguntungkan satu pihak sahaja serta mencadangkan supaya diskaun serupa diberikan sempena Aidilfitri.

“Harap-harap Hari Raya Puasa nanti diskaun 50 peratus juga. Jangan penyokong ‘singa tua’ sahaja yang beroleh nikmat. Alang-alang juara u-turn, u-turnlah juga Aidilfitri nanti,” katanya. 

Dalam kenyataan sinis, Roslan turut menyamakan situasi itu dengan simbolik Tahun Ular, di mana rakyat kini ‘bagai ular dipalu,’ menggambarkan keadaan keliru akibat keputusan sering berubah-ubah.  – HARAKAHDAILY 25/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -