Badan kehakiman kini sedang ditekan kuasa luar?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sembilan bekas Presiden Majlis Peguam Negara secara sepakat bersetuju Kerajaan Madani hari ini gagal menghormati kebebasan kehakiman berbanding rekod tiga kerajaan lalu yang dipimpin oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

- Advertisement -

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh bekas Presiden Majlis Peguam, Zainur Zakaria, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeoh Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Lim Chee Wee, Christopher Leong dan Steven Thiru.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad dalam satu kenyataan berkata, mereka mengakui terdapat tanda-tanda jelas badan kehakiman beberapa tahun ini sedang ditekan oleh kuasa luar.

“Kenyataan mereka dibuat selepas Ketua Hakim Negara membangkitkan isu gangguan dalam proses pelantikan kehakiman di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Terdahulu, sebelum Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman digubal, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) sebagai ketua pembangkang mengkritik potensi campur tangan badan eksekutif dalam pelantikan kehakiman.

“Hari ini, Ketua Hakim Negara mengingatkan PMX agar berpegang dengan kata-kata dan menjaga kebebasan kehakiman daripada disalahgunakan oleh kerajaan.

“PMX tidak boleh bersifak hipokrit setelah berkuasa dan menjadikan mahkamah sebagai penghalang antara rakyat dan negara, sekali gus mengekang kuasa mahkamah untuk menegakkan keadilan tanpa dicemari campur tangan kuasa lain,” katanya.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membangkitkan isu gangguan dalam proses pelantikan kehakiman di bawah JAC 2009.

Dalam ucapannya semasa Pembukaan Tahun Perundangan pada 8 Januari, Tengku Maimun menyatakan bahawa isu itu adalah perkara serius yang perlu disiasat.

Beliau mengingatkan Anwar supaya mempertahankan kebebasan kehakiman dan merujuk kepada kenyataan mengenai perkara itu semasa menjadi ketua pembangkang.

Tengku Maimun juga mengingatkan bagaimana Anwar sebelum ini menyatakan bahawa Rang Undang-Undang JAC pada masa itu tidak mencukupi untuk memastikan kebebasan kehakiman selepas skandal VK Lingam, kes seorang peguam didakwa terlibat dalam pelantikan hakim.

Walaupun mahkamah Malaysia diiktiraf secara antarabangsa kerana kebebasannya, sembilan bekas presiden Majlis Peguam memberi amaran bahawa negara ini akan menanggung akibat sekiranya berlaku kemunduran. – HARAKAHDAILY 25/1/2025

- Advertisement -