
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa membuat semakan dan siasatan menyeluruh berhubung proses penswastaan MAHB serta menambahbaik usaha melindungi kepentingan pemegang taruh minoriti.
Ia selepas keputusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima pengurangan peratusan ambang transaksi pengambilalihan saham MAHB daripada 90 peratus ke 85 peratus bagi dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkara, keputusan itu tidak memberi nilai setara kepada pemegang saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berdasarkan nilai semasa.
“PAC perlu memanggil pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia (Bursa) untuk menjawab secara tuntas justifikasi untuk membenarkan transaksi oleh kedua agensi ini.
“Pihak yang terbabit juga bertindak tanpa mengambil kira pandangan dan pendapat yang telah dikemukakan oleh Pengarah-Pengarah Bebas MAHB. Hal ini menambahkan lagi persoalan dan pertikaian terhadap proses penswastaan MAHB.
“Khazanah dan KWSP gagal untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan pemegang taruh minoriti dengan membenarkan institusi pelaburan gergasi melakukan perubahan terma dan syarat penswastaan sesuka hati.
“Tindakan-tindakan ini adalah amalan tadbir urus yang tidak baik (poor governance) dan menafikan hak pemegang taruh minoriti,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, Gateway Development Alliance (GDA), iaitu konsortium diketuai Khazanah, KWSP dan Global Infrastructure Partners dikaitkan dengan BlackRock, menyemak semula syarat penerimaan yang menyatakan bahawa pembuat tawaran hanya perlu memperoleh pegangan sekurangnya 85 peratus saham MAHB. – HARAKAHDAILY 23/1/2025











