
SHAH ALAM: Tindakan kerajaan berhubung isu permohonan perintah larangan (gag order) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) disifatkan sebagai tindakan hipokrit yang bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sabirin Marsono berkata, isu berkaitan Titah Adendum terus menjadi perhatian rakyat, yang semakin memahami dan menyokong perjuangan menegakkan hak dan kebenaran seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Perkara itu menurutnya, sebagaimana termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutua. memberi setiap warganegara hak kepada kebebasan bercakap dan bersuara.
“Manakala kerajaan mula panik, cemas dan tidak tentu arah. Tiba-tiba sahaja negara dikejutkan dengan permohonan perintah larangan (gag order) oleh AGC bagi menghalang rakyat daripada bercakap tentang isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, keputusan kerajaan memohon perintah larangan bagi menghalang rakyat daripada membincangkan isu itu dilihat sebagai usaha membungkam suara rakyat atas alasan yang tidak munasabah.
“Diciptakn alasan 3R (agama, kaum, dan raja) dan menunggang nama institusi diraja sedangkan rakyat sedang berbahas tentang langkah-langkah sumbang dan ketelusan kerajaan dalam menghadapi isu ini,” tambah Sabirin.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, bahawa kerajaan tidak mengarahkan permohonan perintah larangan tersebut sebagai satu ‘wayang politik’ untuk mengaburi mata rakyat.
“Pada masa yang sama AGC sudah pun memaklumkan dan meneruskan permohonan ‘gag order’ tersebut melainkan ada arahan lain diterima.
“Wayang panas yang dipentaskan kerajaan derhaka ini membuktikan kerajaan hari ini hipokrit. Mereka handal berkata-kata tentang perjuangan kebebasan bersuara dan menjunjung demokrasi. Hakikatnya mereka gagal semuanya,” tempelaknya.
Menurut Sabirin, walaupun kerajaan hari ini terbentuk hasil daripada perjuangan kebebasan bersuara mereka pertaruhkan dahulu, akhirnya kerajaan inilah yang menggunakan kuasa untuk menutup mulut rakyat dan menekan pihak tidak sehaluan dengan mereka. – HARAKAHDAILY 23/1/2025











