Pemuda PAS sudi bertemu Harith Iskander dalam isu ‘ham’

Elak salah faham dan kecaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyatakan kesediaan bertemu pelawak, Harith Iskander dalam usaha mendengar pandangan, bertukar fikiran, dan berbincang mengenai kontroversi isu ‘sandwich ham dan cheese’ yang menjadi perhatian ramai.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, isu tersebut telah mencetuskan kecaman pelbagai pihak susulan hantaran media sosial oleh Harith Iskander sehingga membawa kepada laporan polis daripada beberapa individu.

“Soal halal dan haram adalah perkara yang perlu dijaga kerana ia merupakan hak mutlak Allah SWT. Maka, apabila ia adalah hak mutlak Allah SWT, tiada makhluk yang boleh mempersoalkannya,” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menjelaskan, hantaran oleh Harith Iskander telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, dan Pemuda PAS Malaysia ingin menjelaskan asas sensitiviti isu ini kepada beliau.

“Kami sangat terbuka untuk bertemu dengan saudara Harith Iskander. Kami ingin mendengar pendapat, berbincang, dan menjadikan pertemuan ini sebagai satu ruang untuk berdiskusi secara matang,” tambahnya.

Afnan turut memuji Harith Iskander yang dianggap sebagai figura besar dalam dunia seni lawak negara dengan pernah menjuarai pertandingan Funniest Person in the World anjuran The Laugh Factory pada 2016, menjadikannya pelawak berkaliber di peringkat antarabangsa.

“Diskusi bersama beliau pasti membawa manfaat dan menjadi pengajaran buat semua pihak,” katanya turut berharap agar Harith Iskander menerima pelawaan tersebut, dengan niat untuk mencari penyelesaian harmoni terhadap isu yang dibangkitkan. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -