
KUALA LUMPUR: Insiden pemukulan seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, baru-baru ini mencerminkan kurangnya rasa kemanusiaan dan kesedaran masyarakat terhadap hak serta maruah mereka.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, perbuatan itu bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi juga nilai asas kemanusiaan yang mengajarkan kasih sayang, keadilan, dan hormat-menghormati.
Beliau berkata, Islam melalui sirah Rasulullah SAW telah memberikan teladan yang jelas dalam menyantuni golongan OKU dengan penuh kemuliaan dan penghormatan, serta memberikan tanggungjawab sesuai dengan kemampuan mereka.
“Sebagai contoh, Abdullah bin Ummi Maktum, seorang Sahabat yang buta, dilantik sebagai muazin dan pemimpin Madinah ketika Baginda keluar berperang.
“Kepercayaan ini menunjukkan bahawa kekurangan fizikal tidak menghalang seseorang untuk dihormati dan dihargai dalam masyarakat,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyebut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta seseorang, tetapi melihat kepada hati dan amalan mereka.
Nuridah turut menyebut mengenai penghormatan Rasulullah SAW terhadap Amru ibn al-Jamuh, seorang Sahabat yang cacat kakinya tetapi tetap berusaha untuk menyertai Perang Uhud.
Rasulullah SAW jelasnya memuji keberanian dan keikhlasan beliau, bahkan menjanjikan keadaannya yang sempurna di syurga kelak.
“Mengambil iktibar daripada teladan Rasulullah SAW, kita perlu memastikan golongan OKU diberi layanan yang adil, penuh penghormatan, dan kasih sayang,” nasihatnya.
Mengulas lanjut, Nuridah berkata, sebarang perbuatan membuli, menyakiti, atau menindas golongan OKU adalah satu bentuk kezaliman yang melanggar hak asasi mereka dan nilai-nilai Islam.
Beliau juga menyebut sebuah hadis daripada Jarir Abdillah RA bahawa kasih sayang sesama manusia adalah syarat untuk menerima kasih sayang Allah.
“Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu memperkukuhkan kesedaran tentang hak dan kebajikan golongan OKU, mendidik generasi muda tentang pentingnya menghormati mereka, serta mencontohi sifat kasih sayang dan keadilan yang diajarkan Rasulullah SAW,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2025











