Kerajaan negeri serius tangani isu kesihatan mental

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu serius dalam menangani isu berkaitan kesihatan mental selepas berlaku kejadian melibatkan seorang individu menghidap gangguan bipolar menjadi mangsa keganasan di Kemaman baru-baru ini. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, kejadian itu merupakan insiden kedua melibatkan individu dengan masalah kesihatan mental di negeri itu. 

“Kita sudah ada dua kes OKU bipolar, kes pertama berlaku pada Oktober tahun lalu di Dungun, membabitkan seorang suri rumah yang melanggar pelajar UiTM sehingga meninggal dunia.

“Jadi saya bagi pihak kerajaan negeri, merancang untuk mengadakan mesyuarat khas insya-Allah pada 5 Februari ini untuk membincangkan pelan tindakan menangani kes-kes yang berlaku seumpama ini supaya kes ini tidak akan berulang lagi selepas ni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungannya ke klinik pakar psikiatri, di sini untuk menziarahi Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47 mangsa pukul oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Jumaat lalu.

Menurut Maliaman, peranan keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa amat penting dalam mencegah kejadian serupa pada masa hadapan. 

“Keluarga mesti memberi satu perhatian yang sangat serius dan jangan melepaskan mereka dalam keadaan tidak ada kawalan. Kedua tanpa ubat biasanya berlaku (kejadian yang tidak terkawal) kerana kegagalan mengambil ubat menangani tekanan iaitu ubat penenang.

“Masyarakat juga kena memahami (isu kesihatan mental) dan bertindak dengan sabar, itu merupakan satu benda yang sangat penting dalam menangani isu. Jadi kita harapkan kes ini, insya-Allah selepas ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Beliau juga menasihatkan masyarakat bertindak mengikut prosedur undang-undang tanpa sebarang provokasi. 

“Apa-apa tindakan yang melibatkan pukul, itu hak polis. Kita rakyat tidak boleh menghukum, polis pun mengambil tindakan mengikut prosedur undang-undang.

“Jadi kita harapkan semua orang apabila berlaku kes-kes macam baru-baru ini sepatutnya kita cepat cepat telefon polis ataupun kalau kita boleh pegang, peganglah tapi jangan menghukum. Insiden ini yang kalau tengok memang menyayat hati. Kalau kita pun memang akan rasa,” katanya.

Faizan yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) merupakan bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama Syeikh Malik.

“Faizan bukan orang sembarangan. Dia pelajar cemerlang, tetapi nasib tidak menyebelahi beliau selepas menghidap penyakit bipolar selepas tamat SPM.

“Dia pernah menyambung pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) tetapi tidak sempat menamatkannya,” tambahnya. 

Menurut Maliaman, Faizan yang mesra disapa Paijang dilihat dalam keadaan ceria semasa kunjungannya.

“Ketika ini Paijang dalam keadaan stabil dan ceria sebaik menerima kunjungan kami dan dia nampak gembira apabila bertemu rakan sekolahnya yang turut sama menziarah.

“Namun, sepanjang pertemuan tadi kami sebolehnya cuba mengelak daripada menyentuh mengenai cerita-cerita yang membuatkan dia sedih kerana kesan kecederaan akibat dipukul masih berbekas pada badannya,” katanya.

Maliaman turut kesal dengan tindakan segelintir pihak yang menyebarkan persepsi negatif terhadap rakyat Terengganu susulan insiden ini. 

“Ini kes terpencil. Tidak adil untuk menghukum seluruh rakyat Terengganu berdasarkan kejadian ini. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya. 

Beliau berkata, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana rusuhan.

Maliaman turut menasihatkan semua pihak menghormati proses undang-undang dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan. – HARAKAHDAILY 21/1/2025

- Advertisement -