Fitnah gambar tular: Razali Idris jawab tuduhan

Kesal tindakan politik tidak bermoral

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Exco Kerajaan Negeri, Datuk Razali Idris mengecam tindakan pihak tertentu menyebarkan fitnah melalui gambar tular di media sosial yang cuba mengaitkan PAS dengan insiden kekerasan terhadap orang kelainan upaya (OKU). 

- Advertisement -

Razali berkata, beliau adalah lelaki berbaju hijau dalam gambar ditularkan tersebut, namun individu berbaju merah yang didakwa terlibat dalam kekerasan itu tiada kaitan dengannya atau PAS. 

“Gambar tersebut menunjukkan dua individu yang masing-masing berpakaian berbaju hijau dan berbaju merah. Ayat yang disertakan bersama gambar itu menyebut, ‘Gambar 1: Mendengar ceramah Ustaz PAS (berbaju hijau), Gambar 2: Selepas mendengar ceramah Ustaz PAS (berbaju merah memukul OKU)’.

“Kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini dengan jelas cuba mengaitkan insiden kekerasan terhadap OKU dengan PAS, sedangkan, saya lelaki berbaju hijau dalam gambar itu dan lelaki berbaju merah yang didakwa terlibat dalam kekerasan adalah individu lain,” katanya.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, lelaki berbaju merah itu kini sedang disiasat oleh pihak polis.

“Saya difahamkan lelaki tersebut telah ditahan oleh pihak polis untuk siasatan lanjut. Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang adil dan telus,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir pihak yang menjadikan insiden ini sebagai alat politik, sekali gus menambah beban kepada mangsa dan keluarga terlibat. 

“Saya tidak faham kenapa ada segelintir manusia yang menjadikan isu ini sebagai isu politik. Sehingga sanggup mempergunakan kesengsaraan pihak lain untuk kepentingan peribadi atau politik mereka. 

“Ini adalah satu tindakan yang sangat tidak beretika dan tidak bermoral. Kita harus ingat, setiap tindakan kita memberi kesan kepada masyarakat dan kita perlu bertanggungjawab atas segala perbuatan kita,” katanya.

Beliau menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu atau maklumat yang dimanipulasi. 

“Kita mesti berhati-hati dalam menilai maklumat yang diterima. Serahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk disiasat secara adil dan profesional,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 21/1/2025

- Advertisement -