
KOTA BHARU: Persoalan moral dan integriti Menteri dalam Kerajaan Madani hari ini menjadi punca kerosakan yang tidak lagi dapat diperbaiki, kata Ahli Parlimen Bachok.
Selain itu Mohd Syahir Che Sulaiman turut menyenaraikan kegagalan agenda reformasi yang dilaung-laungkan 27 tahun lalu, pada 1998, sehingga kini belum dapat direalisasikan.
Kemuncaknya pelbagai desas-desus perubahan kerajaan termasuk jawatan Perdana Menteri bagi memulihkan semula kelemahan institusi dan kelesuan ekonomi, kata beliau.
“Kegagalan Kerajaan Madani pada tahap kerosakan yang tidak dapat dibaiki atau ‘damaged beyond repair’, kegagalan reformasi, kelemahan institusi serta kelesuan ekonomi sekarang.
“Kesipuan moral dan integriti Menteri, jadi sempadan,” katanya dalam Facebook semalam ketika mengulas komentar Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah itu dilaporkan sebelum ini mengecam pembangkang kerana terlalu ghairah agenda politik sehingga lupa tugas sebenar, semak dan imbang.
Beliau berkata, perancangan tukar kerajaan tidak sepatutnya berlaku jika dilihat kesungguhan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berusaha keras meningkatkan imej negara.
Terbaharu Umno Bahagian Gua Musang menyifatkan Kerajaan Madani hari ini sangat lemah kerana gagal melaksana Titah Adendum dikurniakan Yang di-Pertuan Agong kepada Dato’ Sri Najib Razak. – HARAKAHDAILY 21/1/2025











