
KUALA LUMPUR: Gencatan senjata antara HAMAS dan Israel yang berkuat kuasa pada 19 Januari kelmarin sukar untuk bertahan lama tanpa perubahan struktur mendalam.
Pensyarah Kanan Pengajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Aizat Khairi berkata, ia susulan kemelut dan ketidakseimbangan kuasa di antara kedua-dua pihak terlibat.
“Gencatan senjata sering kali bergantung kepada keupayaan pihak berkonflik untuk mengekalkan syarat perjanjian serta pengaruh pihak ketiga seperti mediator (orang tengah).
“Walaupun langkah seperti penyerahan tebusan adalah positif, namun ketegangan mendalam dan ketidakseimbangan kuasa antara Israel dan HAMAS menjadikannya sukar untuk memastikan ia bertahan lama tanpa perubahan struktur yang mendalam dalam hubungan kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Menyentuh mengenai kenaikan Ahmed al-Sharaa sebagai pemimpin baharu Syria, beliau menegaskan bahawa ia mungkin akan memberikan kesan kepada perjuangan kumpulan-kumpulan pejuang Islam di Palestin ketika ini.
“Ahmed al-Sharaa yang cenderung tidak mesra terhadap Iran mungkin membawa perubahan kepada hubungan Syria dengan kumpulan pejuang Palestin seperti HAMAS yang bergantung pada sokongan Iran.
“Jika Syria menjauhi Iran, ia berpotensi melemahkan sokongan logistik dan politik kepada kumpulan-kumpulan tersebut sekali gus memberi kesan kepada perjuangan di Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2025











