
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menggambarkan situasi ekonomi akan dilalui individu, keluarga atau negara bagi tahun 2025 ini dengan metafora ‘pasir jerlus’.
Beliau mengetengahkan metafora itu untuk menunjukkan risiko terperangkap dalam keadaan yang semakin merosot atau merumitkan apabila mereka cuba untuk keluar daripada masalah tertentu.
Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, setiap usaha untuk keluar dari masalah tersebut, jika tidak ditangani dengan betul, hanya akan menyebabkan mereka terjerumus lebih dalam.
“Itulah metafora ‘pasir jerlus’ terhadap tiga cabaran mendasar yang dihadapi oleh negara dan rakyat, iaitu subsidi, inflasi, dan hutang peribadi.
“Ketiga-tiga isu ini bukan sahaja mengancam kestabilan makroekonomi negara, tetapi turut menjejaskan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat jika tidak ditangani sebaiknya,” ujarnya.
Syahir merujuk kepada tuntutan dan pentingnya perkara tersebut ditangani melalui penggubalan dasar kerajaan berpandukan data, libat urus, dan daya empati yang tinggi.
“Subsidi; banyak telah diumumkan, namun masih banyak perincian yang belum dimuktamadkan, termasuklah ukuran kelayakan dan kaedah pelaksanaan.
“Inflasi; indeks rendah menjadi kebanggaan, namun tiada rakyat dan peniaga mengendahkan, ‘terasa’ wujud jurang realiti berbanding angka yang dibentangkan.
“Hutang peribadi; kenaikan kos sara hidup tidak sepadan dengan peningkatan pendapatan, menyebabkan rakyat terus terdedah kepada hutang peribadi yang membebankan,” ujarnya memberi contoh kad kredit dan beli dulu bayar kemudian (BNPL).
Menurutnya, dalam isu subsidi, penjelasan yang muktamad amatlah dituntut, termasuklah perkara paling asas iaitu pengkelasan T15 (15 peratus golongan atasan) dan B85 (85 peratus golongan bawahan).
Kata beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS, ia sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025, meliputi subsidi petrol, elektrik, pendidikan, dan kesihatan.
Tegas Syahir, kejelasan ukuran kelayakan dan kaedah penyaluran ini amat penting bagi membolehkan rakyat dapat menyusun belanjawan peribadi, belanjawan keluarga dan belanjawan perniagaan.
Seterusnya kata Penolong Setiausaha Agung PAS itu, menyerap segala kesan yang terhasil daripada kelayakan, atau ketidaklayakan, daripada belanjawan kerajaan.
“Di samping itu, kerajaan pastinya telah mengenalpasti cabaran pelaksanaan subsidi petrol dan diesel secara bersasar di kawasan luar bandar yang menghadapi kekurangan infrastruktur digital.
“Apatah lagi kerajaan berhasrat menggunakan kaedah ‘imbasan’ kad pengenalan bagi penyaluran subsidi petrol RON95.
“Kajian mendalam juga pastinya telah dijalankan bagi memastikan penyasaran subsidi tidak menjejaskan kesaksamaan antara negeri-negeri,” ujarnya.
Peringat beliau, khususnya di kawasan yang bergantung kepada pengunaan petrol dan diesel untuk sektor-sektor utama seperti pertanian, perikanan, pengangkutan, dan keusahawanan.
Justeru tegas Syahir lagi aspek kejelasan (clarity), kepastian (certainty), dan ketelitian dasar di pihak kerajaan amatlah penting bagi memastikan cabaran subsidi, inflasi, dan keberhutangan rakyat dapat ditangani dengan berkesan.
“Supaya tidak berubah menjadi ‘pasir jerlus’ yang kelihatan masih jauh, tetapi sebenarnya teramat dekat kepada negara dan rakyat,” ujarnya mengingatkan risiko itu. – HARAKAHDAILY 20/1/2025











