MDJ anjur ‘town hall’ bincang hal pelancongan

- Advertisement -

JELI: Majlis Daerah Jeli (MDJ) mengadakan sesi dialog awam atau ‘town hall’ bagi mendapatkan pandangan dan cadangan pelbagai pihak ke arah memastikan hala tuju pelancongan tercapai.

- Advertisement -

Yang Dipertua MDJ, Mohd Shaifudeen Md Salleh berkata, pihaknya berharap agar agensi pelancongan dan pemain industri itu dapat memainkan peranan mempromosikan lokasi menarik di jajahan itu.

Beliau berkata, Jeli juga berpotensi berkembang dalam sektor tersebut setelah banyak lokasi diktiraf menarik selain kedudukan strategik pintu masuk utama dari Perak dan sempadan Thailand.

“Jeli mempunyai kelebihan geografi dan lokasi pelancongan boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk menarik lebih ramai pelancongan baik dari dalam dari dalam negara mahu pun dari luar negara.

“Keindahan semula jadi kita miliki ini adalah aset amat berharga, dan perhatian harus diberikan semua pihak jadikan daya tarikan utama menikmati alam sekitar dan merakam momen indah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu Program ‘Town hall’ mengenai Pelan Strategik Pelancongan Jajahan Jeli bagi tahun 2025-2030 berlangsung di Dewan Taman Cahaya, Gunung Reng di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil; Ketua Whip Ahli Majlis MDJ, Ahmad Sanuzi Pauzi selain agensi pelancongan dan pemain industri itu.

Mengenai pelan strategik itu, Mohd Shaifudeen berkata lagi, ia merupakan dokumen perancangan selama enam tahun bagi menjadikan Jeli satu lagi destinasi pelancongan yang unik di Kelantan.

Antara agenda diberikan tumpuan ialah pembangunan lokasi pelancongan seperti Gua Stir, Gunung Reng, Lata Kashmir, Bukit Salor, Lata Jerai, Kolam Air Panas, Lata Janggu, Lata Renyuk dan Lata Mawo.

Pusat peranginan tersebut sudah menjadi tumpuan orang ramai, bagaimanapun masih memerlukan usaha naik taraf kemudahan dan akses lebih baik bagi memberi keselesaan kepada pengunjung. – HARAKAHDAILY 17/1/2025

- Advertisement -