Gencatan senjata: Cekalnya penduduk Gaza lebih 15 bulan

- Advertisement -

SEMENJAK 7 Oktober 2023, kali pertama gencatan senjata dicapai antara HAMAS dan rejim Zionis Israel bermula Ahad ini.

- Advertisement -

Ia dibuat di antara sebuah pertubuhan kerdil dengan sebuah rejim yang kononnya hebat. HAMAS dianggap kerdil kerana ia hanya menguasai Semenanjung Gaza. Satu kawasan yang hanya seperti sebuah daerah di Terengganu. Kerdil juga kerana disekat, dihalang, dilabel pengganas, diperangi dan bergerak sendirian. Memang ada bantuan luar, langsung atau tidak langsung tetapi tidak ketara.

Sementara rejim Zionis pula menguasai sebuah negara haram yang dianggap daripada sudut persenjataannya antara yang terhebat di dunia. Dibantu pula sepenuhnya tanpa selindung dan malu daripada sudut ketenteraan, persenjataan, kewangan dan lain-lain oleh Amerika Syarikat, Britain dan negara-negara Eropah lain.

Tidakkah ini menunjukkan jurang yang sangat jauh?

Namun Allah telah menetapkan bahawa pertolongan dan kekuatan hanya daripada Allah Al-Jabbar wal Muntaqim.

Firman-Nya:

وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ

Maksudnya: “Dan tidak ada pertolongan itu melainkan daripada sisi Allah.” (Al-Anfal: 10)

Dan firman-Nya lagi:

مَنْ كَانَ يُرِيْدُ الْعِزَّةَ فَلِلّٰهِ الْعِزَّةُ جَمِيْعًاۗ اِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهٗ ۗوَالَّذِيْنَ يَمْكُرُوْنَ السَّيِّاٰتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيْدٌ ۗوَمَكْرُ أُولَٰئِكَ هُوَ يَبُوْرُ

Maksudnya: “Barangsiapa menghendaki kemuliaan, maka (ketahuilah) kemuliaan itu semuanya milik Allah. KepadaNyalah akan naik perkataan-perkataan yang baik, dan amal kebajikan, Dia akan mengangkatnya. Adapun orang yang merencanakan kejahatan, mereka akan mendapat azab yang sangat keras, dan rencana jahat mereka akan hancur.” (Fatir: 10)

Dalam tempoh 15 bulan, Gaza dihancur sehancur-hancurnya. Jumlah bom yang digugurkan di seluruh Gaza, jenis bom yang digunakan sangat menggerunkan. Kalau difikir sekali lalu, sudah lama Gaza ini lenyap daripada bumi ini. Benyamin Netanyahu pernah berjanji menjahanamkan Gaza melalui operasi Rafah. Namun, ia tidak berlaku.

Beliau juga berjanji berperang habis-habisan sehingga HAMAS dihapuskan. Alhamdulillah, Allah tidak mengizinkan niat jahat daripada penjahat itu berlaku.

Mengikuti perkembangan Gaza setiap hari sangat menyayat hati. Setiap hari penduduk dibunuh, ada yang cedera. Siren ambulans tidak pernah berhenti berbunyi. Solat jenazah menjadi rutin harian. Bukan satu mayat tapi berpuluh-puluh mayat.

Mereka berulang-alik daripada utara Gaza ke tengah Gaza dengan arahan rejim Zionis. Kononnya berlindung di tempat selamat. Daripada tengah ke Gaza, berpindah ke selatan Gaza. Daripada selatan Gaza, balik semula ke utara Gaza. Namun, ketika berpindah itulah mereka diserang dan dibom.

Tiada air, tiada elektrik, tiada makanan, tiada minuman, tiada kemudahan asas yang paling kecil bagi meneruskan hidup.

Selepas 15 bulan, perjanjian gencatan senjata dicapai. Ada lima butiran asas di peringkat pertama. Setiap butiran asas ada perinciannya pula. Setakat mana perjanjian gencatan senjata ini dipenuhi, dilaksana dan dipatuhi, terutamanya oleh rejim Zionis untuk tiga peringkat tersebut?

Yang pasti, hingga perjanjian gencatan senjata ini dimeterai, masih ada yang berada di bawah runtuhan bangunan yang dibom oleh rejim Zionis. Hidupkah? Matikah?

HAMAS menyifatkan kecekalan dan ketabahan penduduk Gaza sangat luar biasa. Benar! Sangat luarbiasa. Kita yang melihat daripada skrin internet dan berita pun hanya mampu menggelengkan kepala dan menangisi sahaja. Mereka di sana menempuhi perjalanan hidup yang sangat sukar, terlampau sukar, tetapi menyerah tidak sekali.

Penduduk Gaza berkata: “Bumi ini milik kami. Tanah ini milik kami. Rumah ini rumah kami. Biar segalanya hancur, kami tetap di sini”.

لا راية بيضاء رفعت

La rayata baida’ rufiat.

Tiada bendera putih yang diangkat. – HARAKAHDAILY 16/1/2025

Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.

- Advertisement -