Landasan ECRL Maran ke Kota Bharu siap lebih awal

Darwish (paling kanan) melihat kerja pemasangan rel
- Advertisement -

KOTA BHARU: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat sejarah apabila kerja pemasangan landasan sepanjang kira-kira 400 kilometer (km) dari Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual.

- Advertisement -

Pemasangan landasan fasa ketiga sepanjang 206 km dari Dungun, Terengganu ke Kota Bharu disempurnakan semalam, dua bulan lebih awal daripada jadual asal.

Mesin pemasangan trek model CCPG-500A yang pertama kali digunakan dalam industri rel Malaysia, memainkan peranan penting apabila tiba di Stesen ECRL Kota Bharu, titik permulaan jajaran ECRL.

Kerja pemasangan landasan fasa ketiga bermula pada 13 Julai 2024 di Kampung Batu Tujuh, Dungun, menuju ke Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu, di sini.

Purata pemasangan landasan adalah sejauh 1.5 km setiap hari, membolehkan keseluruhan kerja disiapkan dalam tempoh 160 hari bekerja.

Fasa pertama pemasangan landasan bermula pada 11 Disember 2023, melibatkan 92 km dari Kuantan Port City (KPC), Pahang ke Dungun, dan selesai pada akhir Februari 2024, sebulan lebih awal daripada jadual.

Fasa kedua, sejauh 97 km dari KPC ke Maran, bermula pada 9 Mac 2024 dan siap pada pertengahan Jun 2024, satu setengah bulan lebih awal daripada jadual.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, memuji penggunaan teknologi canggih dari China dan kerjasama erat pasukan ECRL dalam mencapai kejayaan ini.

“Projek ini mencapai pencapaian penting apabila kerja pemasangan landasan fasa pertama hingga ketiga selesai lebih awal.

“Ini bermakna 400 km jajaran utama ECRL dari Maran ke Kota Bharu berjaya disiapkan,” katanya sempena Majlis Penyempurnaan Kerja Pemasangan Landasan ECRL dari Maran ke Kota Bharu.

Beliau turut menyatakan bahawa kerja pemasangan sistem elektrifikasi, semboyan, dan telekomunikasi bagi jajaran Kelantan kini dapat dipercepatkan.

Pemasangan landasan sepanjang 43.86 km di Kelantan disiapkan sepenuhnya hari ini.

Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd, Kong Qi, berkata kejayaan ini menunjukkan komitmen syarikat terhadap pembangunan sistem rel bertaraf dunia.

“Penyempurnaan awal ini menandakan satu pencapaian penting. Kami juga bangga melatih jurutera tempatan untuk menjadi profesional dalam bidang perkeretaapian,” katanya.

Sehingga Disember 2024, pembinaan jajaran ECRL di Kelantan telah mencapai 87.80 peratus.

Kelantan bakal memiliki dua stesen ECRL, iaitu Stesen Kota Bharu di Bandar Baru Tunjong untuk penumpang dan Stesen Pasir Puteh di Cherang Tuli untuk penumpang serta kargo.

Projek ECRL sepanjang 665 km dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.

Operasi akan bermula pada Januari 2027, menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. – HARAKAHDAILY 16/1/2025

- Advertisement -