
HULU SELANGOR: PAS Selangor memandang berat dengan kejadian warna air sungai yang berubah menjadi merah jambu di Sungai Kabul, Beranang sehingga Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terpaksa mengaktifkan kod kuning di sungai itu.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, lebih membimbangkan insiden itu berpotensi memberi kesan kepada loji rawatan air (LRA) di Sungai Semenyih.
PAS Selangor menurutnya mengucapkan tahniah kepada LUAS atas tindakan yang cekap dan pantas bagi langkah-langkah pencegahan dan mitigasi segera.
“PAS Selangor ingin menyinggung Kerajaan Negeri Selangor berkenaan dasar dan polisi negeri berkenaan isu ini.
“Adakah kejadian yang berlaku di Sungai Kabul ini memberi indikator bahawa lemahnya pelaksanaan dasar dan undang-undang sedia ada oleh Kerajaan Negeri Selangor?
“Mengapa masih ada premis kilang yang dibiarkan beroperasi sehingga menjejaskan sungai-sungai yang ada di negeri Selangor?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, menurut Zurk, PAS Selangor berpendapat bahawa Selangor, sebagai sebuah negeri yang mempunyai banyak potensi untuk menjadi negeri maju dalam negara, perlu mempunyai dasar dan polisi proaktif.
Itu jelasnya termasuk garis panduan atau undang-undang mampu mencegah dengan lebih berkesan sebarang kejadian yang boleh menimbulkan keresahan tinggi dalam kalangan rakyat Selangor.
“PAS Selangor berpandangan, selain daripada fokus meningkatkan kualiti dan proses penyelenggaraan infrastruktur di negeri Selangor,
“Kerajaan Negeri Selangor juga perlu memperuntukkan fokus dan dana bagi membangunkan polisi dan dasar yang lestari, proaktif dan inklusif bagi menangani isu-isu pencemaran sungai yang berlaku di negeri Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2025











