Pengambilalihan MAHB: Ada konflik pemegang saham?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelanjutan tarikh akhir bagi penerimaan tawaran pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selama seminggu lagi menampakkan bahawa wujudnya masalah antara pemegang-pemegang saham syarikat itu.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkembangan itu turut membuktikan bahawa ada perkara-perkara yang tidak dipersetujui oleh pihak berkepentingan di dalam MAHB.

“Itu (pelanjutan tarikh) menunjukkan sebenarnya usaha sama penswastaan ini sedang berhadapan dengan masalah. Kenapa perlu dilanjutkan sehingga 24 hari bulan (Januari)?

“Maknanya ada sesuatu yang tidak dipersetujui oleh pemegang-pemegang saham yang ada pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Justeru, beliau menggesa pihak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk segera melakukan siasatan terhadap urusniaga berkenaan.

“Kita memang minta PAC siasat transaksi penjualan saham dengan harga rendah yang dibuat oleh KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), sebelum dia membeli dengan harga yang mahal pada tahun 2023.

“Untuk sebarang unsur-unsur penipuan, _insider trading_ (dagangan orang dalam) kalau ada berlaku. Jadi kita minta PAC untuk segera menyiasat perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Khazanah Nasional Bhd dan KWSP dalam pemfailannya kepada Bursa Malaysia telah melanjutkan tarikh baharu penerimaan tawaran pengambilalihan MAHB kepada 24 Januari, berbanding tarikh asal pada 17 Januari.

Notis berhubung tarikh lanjutan itu dilaporkan akan dihantar kepada pemegang saham dalam masa terdekat.

KWSP pada 6 Januari 2023 dilaporkan menjual saham MAHB sekitar RM6.74 seunit, iaitu pada harga paling rendah sepanjang tahun itu sehingga julatnya mencecah RM7.70 sesaham pada 1 September 2023.

Beberapa bulan kemudian melalui tawaran awam (GO), KWSP membeli semula saham berkenaan pada harga RM11 sesaham. – HARAKAHDAILY 16/1/2025

- Advertisement -