Kerajaan digesa kaji semula penetapan harga minimum

Padi dan pesawah

- Advertisement -

JERLUN: Kerajaan digesa mengkaji semula penetapan harga minimum padi dan memperkenalkan penstrukturan semula harga beras tempatan pada harga kawalan yang lebih relevan iaitu RM3.60 satu kilogram.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, langkah itu bagi membela nasib petani dan mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi.

“Langkah ini juga dapat membantu mengangkat taraf hidup pesawah yang kebanyakannya masih di bawah garis kemiskinan sekali gus meningkatkan ketetapan harga lantai belian padi pada jumlah yang lebih bermaruah.

“Sekurang-kurangnya pada harga belian padi RM1,800 satu tan metrik di samping proaktif dalam mengawal kenaikan kos input sebegitu.

“Kawal kenaikan segenap aspek kos pengeluaran padi dari dimanipulasi ‘lintah darat’ bagi memastikan keuntungan hasil petani yang berkeringat dan bersusah payah tetap terbela,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, sebelum ini pihak beliau pernah menulis surat menggesa tindakan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam beberapa isu ini.

Ashraf Mustaqim menggesa pampasan kepada petani yang terkesan dalam isu ‘padi tenggelam’ akibat bencana diberikan pihak kementerian, namun tiada reaksi balas.

“Terkini, susulan ketetapan jumlah belian padi pada harga RM1,300 satu tan metrik yang diputuskan dalam mesyuarat pengilang-pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) adalah penindasan ke atas para petani tanpa justifikasi keadilan.

“Hakikatnya harga padi minimum RM1,300 yang ditetapkan sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan serta tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi ditanggung pesawah yang semakin meningkat! Perlu dijelaskan realiti yang ditanggung petani,” katanya.

Minggu lalu media melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) membantah penetapan harga belian padi RM1,300 per tan yang diputuskan pada mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras, baru-baru ini.

Pengerusi PeSawah, Abdul Rashid Yob berkata, penetapan harga itu adalah tidak adil dan tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat ketika ini.

Katanya, kerajaan diminta mengkaji semula penetapan harga minimum belian padi dan mengambil kira beberapa faktor terpaksa ditanggung pesawah seperti kenaikan kos pengeluaran padi mendadak, pendapatan dan kebajikan golongan itu. – HARAKAHDAILY 16/1/2025

- Advertisement -