
KOTA BHARU: Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed mengecam tindakan memalsukan logo Halal yang dianggap sebagai penipuan terang-terangan terhadap umat Islam.
Beliau berkata, isu pemalsuan ini bukan perkara remeh kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam yang bergantung kepada keaslian logo Halal untuk memastikan pematuhan terhadap tuntutan agama.
Sehubungan itu, Kamal turut mengingatkan semua pihak, tanpa mengira pegangan politik, berhak bersuara dalam isu ini, khususnya apabila melibatkan penipuan yang disengajakan.
Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan seorang Menteri yang disifatkan telah memperlekehkan kebimbangan umat Islam dengan menggunakan naratif menghina.
“Mempermainkan keaslian logo Halal bukan perkara kecil. Umat Islam yang membangkitkan isu ini tidak wajar dilabel sebagai bodoh. Ini adalah hak kami untuk mempertahankan kesucian agama kami,” kata beliau.
Pemuda PAS Kelantan juga menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam pemalsuan logo Halal ini.
Tambahnya, ia penting demi menjaga kepercayaan masyarakat dan maruah umat Islam di negara ini.
Baru-baru ini pengeluar sandwic ‘ham & cheese’ yang beroperasi di KK Mart Universiti Malaya (UM) telah memanipulasi logo Halal.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri telah mengesahkan produk tersebut tidak mempunyai sijil Halal.
Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dalam reaksi terkininya telah menggelar para pengkritik isu ini sebagai ‘sebenar bodoh’ kerana disifatkannya sengaja membesarkan isu itu. – HARAKAHDAILY 16/1/2025











