Ustaz Azhar Salleh beri semangat calon SPM

- Advertisement -

MACHANG: Seramai 79 pelajar Maahad Syamsul Maarif Lelaki Labok, menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), manakala 88 pelajar lagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam suasana penuh semangat.

- Advertisement -

ADUN Pulai Chondong, Ustaz Azhar Salleh telah meluangkan masa menziarahi pelajar-pelajar terbabit bagi memberi sokongan moral dan nasihat berguna, semalam.

Dalam pertemuan itu, beliau mengingatkan pelajar agar menjawab soalan peperiksaan dengan tenang serta fokus sepenuhnya.

“Jangan lupa berdoa dan memohon pertolongan Allah SWT. Kita belajar dan menduduki peperiksaan ini bukan hanya untuk keputusan cemerlang, tetapi juga sebagai persiapan menjadi pendakwah memberi manfaat kepada umat,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, turut mengingatkan pelajar supaya memanfaatkan ilmu yang telah diajar oleh guru sepanjang tahun pengajian mereka.

Ustaz Azhar menzahirkan rasa syukur atas kehadiran penuh para pelajar pada hari peperiksaan ini dan berharap mereka dapat mencapai kejayaan yang cemerlang.

“Peperiksaan ini diharapkan menjadi titik tolak dalam melahirkan generasi pendakwah yang berilmu dan berakhlak mulia,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 8/1/2025

- Advertisement -