
KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu memang dahaga dan cintakan ilmu, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurutnya, masing-masing berlumba untuk hadir ke majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.
Beliau menyatakan demikian dalam satu hantaran di laman sosialnya susulan merasmikan Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) peringkat negeri di sini, kelmarin.
Katanya, jika tahun-tahun sebelumnya apabila tibanya bulan Rejab, kerajaan negeri akan menganjurkan program BPIS namun pada tahun ini ada sedikit kelainan namun masih dalam objektif yang sama.
Ahmad Samsuri turut mengucapkan terima kasih atas sambutan yang begitu luar biasa daripada rakyat yang memenuhi setiap ruang dalam aktiviti yang disediakan.
Beliau dimaklumkan kehadiran di luar jangkaan daripada sasaran termasuklah kuliah subuh dan sebagainya.
“Ini menandakan bahawa rakyat Terengganu memang dahaga dan cintakan ilmu. Masing-masing berlumba untuk hadir ke majlis-majlis ilmu yang dianjurkan.
“Insya-Allah sepanjang bulan ini, kerajaan negeri akan menganjurkan pelbagai program yang telah dirangka dan disusun,” ujarnya yang juga ADUN Ru Rendang.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua masyarakat agar mengambil bahagian dalam setiap program yang dilaksanakan pada kali ini.
Menurutnya lagi, apa yang dilaksanakan itu juga bertepatan dengan teras strategik ketiga dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) iaitu pengukuhan pembangunan insan bagi melahirkan masyarakat yang beragama, bermasyarakat dan berkebajikan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berharap semoga usaha kecil daripada kerajaan ini mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.
“Sekalung penghargaan juga kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan program sepanjang bulan ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 8/1/2025











