
CARACAS: Pemimpin pembangkang Venezuela, Edmundo Gonzalez mendakwa seorang lelaki bertopeng telah menculik menantunya, Rafael Tudares yang kini masih belum ditemui.
Menerusi kenyataan di laman media sosialnya, Tudares telah diculik ketika sedang menuju ke sekolah untuk menghantar cucu pemimpin itu
“Pagi ini, menantu saya Rafael Tudares telah diculik. Rafael sedang dalam perjalanan ke sekolah cucu saya untuk menghantar mereka pada permulaan kelas.
“Sebelum dia dipintas oleh lelaki bertopeng dan berpakaian hitam yang memasukkannya ke dalam van berwarna emas, bernombor AA54E2C dan membawanya pergi. Dia masih hilang,’ katanya dalam kenyataan itu pada Selasa.
Masih tidak diketahui sama ada insiden itu mempunyai kaitan dengan pasukan keselamatan negeri, penahanan rutin, atau penculikan seperti yang didakwa oleh Gonzalez.
Beliau sendiri ketika kini sedang menghadapi waran tangkap di negara itu, selepas mendakwa dirinya adalah pemenang yang sah dalam Pilihan Raya Presiden pada 28 Julai tahun lalu.
Gonzalez dan beberapa pengkritik lain kerajaan pimpinan Nicolas Maduro telah membantah pilihan raya dan keputusan rasmi, dengan Maduro dikatakan tidak mempunyai ketelusan dan keadilan dalam keputusan itu. – Agensi / HARAKAHDAILY 8/1/2025











