ADUN gesa segera selenggara jalan elak kemalangan

- Advertisement -

HULU LANGAT: Seorang penunggang motosikal cedera selepas tergelincir akibat jalan berpasir di bahu jalan berhampiran bulatan Serene Heights, Jalan Semenyih, di sini semalam.

- Advertisement -

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Hafiz, berasal dari Kampung Sungai Kembung mengalami kecederaan di bahagian rusuk dan perut selepas terjatuh dan melanggar tiang pembahagi jalan.

ADUN Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, keadaan jalan yang tidak diselenggara dengan baik, termasuk permukaan berpasir mengundang bahaya dan menjadi punca kemalangan terutama bagi penunggang motosikal.

“Semalam selepas Maghrib, dalam perjalanan ke Masjid Batu 3, Jalan Semenyih untuk menghadiri ceramah Perdana oleh Ustaz Heriyanto Rizal, saya terserempak dengan satu kemalangan berhampiran bulatan Serene Heights.

“Mangsa terbaring di atas pembahagi jalan dengan kecederaan di bahagian rusuk dan perut dan dipercayai tergelincir akibat pasir yang bertaburan di bahu jalan sebelum melanggar tiang.

“Saya segera memberhentikan kenderaan di tempat selamat dan turun memberikan bantuan awal bersama orang ramai yang sudah berkumpul di lokasi.

“Ketika itu, Hafiz (mangsa) dalam keadaan separa sedar dan ditenangkan sementara menunggu ambulans tiba,” katanya menerusi kenyataan di _Facebook_, pada Selasa.

Nushi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, insiden itu jelas membuktikan bahawa kecuaian dalam penyelenggaraan jalan raya bukan isu kecil.

Justeru, beliau telah memanjangkan aduan itu kepada pihak berkaitan untuk tindakan segera bagi memastikan kawasan tersebut dibersihkan dan selamat digunakan.

“Keselamatan jalan raya bukan sesuatu yang boleh dikompromi. Nyawa manusia terlalu berharga untuk dijadikan taruhan.

“Oleh demikian, kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan pemaju amat diperlukan untuk memperkukuh langkah-langkah pencegahan.

“Kita semua bertanggungjawab memastikan persekitaran yang lebih selamat dan bebas risiko demi kesejahteraan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/1/2025

- Advertisement -