
MAHKAMAH Syariah Terengganu, insya-Allah akan melaksanakan hukuman sebatan di khalayak ramai berpandukan lunas perundangan yang jelas. Namun, usaha murni ini dipertikai oleh pihak-pihak tertentu.
Justeru, kita perlu kembali meneliti hujah dan nas daripada al-Quran dan Hadis mengenai perkara ini. Pelaksanaan sebatan di khalayak ramai diambil daripada ayat kedua, Surah an Nur;
وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
“…maka hendaklah sekelompok manusia dari kalangan orang beriman menyaksikan hukuman keduanya (penzina lelaki dan perempuan).”
Di dalam Tafsir Ibnu Asyur, at Tahrir wat Tanwir, menafsirkan:
أَمَرَ أَنْ تَحْضُرَ جَمَاعَةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ إِقَامَةَ حَدِّ الزِّنَا تَحْقِيقًا لِإِقَامَةِ الْحَدِّ وَحَذَرًا مِنَ التَّسَاهُلِ فِيهِ فَإِنَّ الْإِخْفَاءَ ذَرِيعَةٌ لِلْإِنْسَاءِ، فَإِذَا لَمْ يَشْهَدْهُ الْمُؤْمِنُونَ فَقَدْ يَتَسَاءَلُونَ عَنْ عَدَمِ إِقَامَتِهِ فَإِذَا تَبَيَّنَ لَهُمْ إِهْمَالُهُ فَلَا يُعْدَمُ بَيْنَهُمْ مَنْ يَقُومُ بِتَغْيِيرِ الْمُنْكَرِ مِنْ تَعْطِيلِ الْحُدُودِ.
وَفِيهِ فَائِدَةٌ أُخْرَى وَهِيَ أَنَّ مِنْ مَقَاصِدِ الْحُدُودِ مَعَ عُقُوبَةِ الْجَانِي أَنْ يَرْتَدِعَ غَيْرُهُ، وَبِحُضُورِ طَائِفَةٍ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ يَتَّعِظُ بِهِ الْحَاضِرُونَ وَيَزْدَجِرُونَ وَيَشِيعُ الْحَدِيثُ فِيهِ بِنَقْلِ الْحَاضِرِ إِلَى الْغَائِبِ
“Allah S.W.T memerintahkan agar sekumpulan orang Islam Islam hadir pelaksanaan hukuman zina, sebagai pembuktian akan tertegaknya hukum hudud, juga sebagai ancaman ke atas sikap bermudah-mudahan melakukannya. Ini kerana, sesuatu yang dilakukan secara tersembunyi merupakan jalan untuk ia dilupakan. Sekiranya umat islam tidak menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut, boleh jadi mereka akan tertanya-tanya ke atas ketiadaan pelaksanaan tersebut. …
“Suruhan ini ada faedah lain, iaitu di antara maqasid hudud (tujuan pelaksanaan) bersama-sama dengan hukuman ke atas penjenayah adalah supaya menimbulkan ketakutan ke atas orang lain. Dan dengan kehadiran sekumpulan orang beriman, maka orang yang hadir dapat mengambil peringatan serta menjauhinya (jenayah), kemudian akan tersebarlah perbincangan tentangnya, apabila yang hadir menyampaikannya kepada yang tidak hadir.”
Walaupun di dalam ayat kedua Surah an Nur menghuraikan hukuman ke atas penzina, namun, penyaksian di kalangan hadirin ada matlamatnya yang khusus, sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Asyur.
Al Mawardi turut menyatakan perkara yang sama di dalam tafsirnya, tujuan ia dilaksanakan adalah untuk…;
ليكونوا زيادة في نكاله وبينة على إقامة حده
“… Supaya mereka menjadi tambahan kepada hukumannya dan bukti bahawa hukumannya akan dilaksanakan..”
Imam Ibnu Kathir menukilkan:
وقال قتادة : أمر الله أن يشهد عذابهما طائفة من المؤمنين ، أي : نفر من المسلمين; ليكون ذلك موعظة وعبرة ونكالا
“Qatadah berkata : Allah SWT menyuruh supaya hukuman ke atas pesalah disaksikan oleh sebilangan orang beriman, iaitu beberapa orang dari kalangan orang Islam, supaya ia menjadi peringatan, pengajaran dan hukuman pencegah.”
Imam al Qurtubi menghuraikan:
اختلف في المراد بحضور الجماعة . هل المقصود بها الإغلاط على الزناة والتوبيخ بحضرة الناس ؟ وأن ذلك يدع المحدود ومن شهده وحضره يتعظ به ويزدجر لأجله ، ويشيع حديثه فيعتبر به من بعده
“Para ulama berbeza pendapat mengenai maksud kehadiran orang yang ramai. Adakah maksudnya berlaku hanya kepada para penzina dan menghinanya dengan kehadiran orang ramai. Jika begitu, ia akan menghalang individu yang dikenakan hukuman had (dari terus melakukannya). Sesiapa yang hadir, melihat dan mengambil pelajaran, serta menjauhi perbuatan tersebut di samping menyebarkan apa yang berlaku maka ia akan menjadi pengajaran selepas itu…….”
Para Ulama berselisih pendapat dalam menentukan bilangan hadirin tersebut, termasuk juga pelaksanaannya. Mazhab Hanafi dan Hambali mewajibkannya. Manakala Mazhab Syafie dan Maliki menyatakan hukumnya Mustahab.
Justeru, untuk merealisasikan tujuan menegakkan hukum (maqasid), maka kami berpandangan hukuman sebatan di khalayak wajar dilaksanakan sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Asyur dan al Mawardi.
Manakala tujuan utama ia dilaksanakan adalah untuk mendidik masyarakat agar menjauhi maksiat, selaras dengan apa yang dinyatakan oleh al Qurtubi, Ibn Kathir dan lain lain.
USTAZ MUHAMMAD MUJAHID Ir MOHAMAD FADZIL
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 26/12/2024











