KOMFAST bakal realisasi hasrat ahli PAS Bentong

- Advertisement -

BENTONG: PAS Kawasan Bentong komited merealisasikan hasrat seluruh ahlinya untuk memiliki ‘rumah sendiri’ melalui Kompleks Fastaqim atau KOMFAST yang bakal dibina tidak lama lagi.

- Advertisement -

Malam kelmarin telah berlangsung Majlis Makan Malam Amal di sebuah restoran di sini bagi mengumpul dana untuk pembinaan kompleks tersebut.

Majlis telah dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz ldris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Dalam ucapannya, Idris berkata, kerja buat ahli PAS bukan semata-mata semasa dan hanya untuk pilihan raya sahaja.

Ahli PAS, ujarnya, bekerja dan menyumbang bakti dan tenaga seumur hidup bersama-sama masyarakat bertujuan menjadikan manusia prihatin tentang kejadian mereka.

Menurutnya, oleh kerana KOMFAST terletak di tepi jalan, maka sudah tentu ia bakal menggamit tumpuan masyarakat untuk ‘berhenti’ dan melihat apa-apa yang boleh memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, apabila tersergam sebuah bangunan nanti sudah pasti akan diadakan usrah, ceramah dan pelbagai pengisian untuk meningkatkan kualiti ahli.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Serai itu lagi, para amilin dan ahli-ahli PAS di seluruh Malaysia khususnya di Pahang memiliki kekuatan dan daya kepatuhan tinggi dalam melaksanakan arahan.

Ini, ujarnya terbukti dengan tertegaknya bangunan Kompleks Al-Makmur, Kerdau bernilai jutaan ringgit.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Muslimat PAS kawasan menjadi antara pendeposit tetap dana KOMFAST dengan jumlah terkumpul setakat ini mencecah RM10,000.

KOMFAST merupakan cetusan idea ahli PAS cawangan-cawangan dan dewan-dewan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS kawasan kali ke-39 di Markaz PAS Chegar Medang pada 22 Mei tahun lalu.

Buat masa ini, pihak jawatankuasa sedang giat mengumpul dana bagi pembayaran fasa pertama tanah seluas satu ekar bernilai lebih setengah juta ringgit itu. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

- Advertisement -