
KOTA BHARU: Penubuhan Majlis Tafaqquh Madrasah Ahmadiah Pondok Bunut Payong memberi kelebihan pelajar Sekolah Menengah Ugama (SMU) Sullamiah mendalami ilmu kitab turath.
Pengerusinya, Ustaz Muhammad Azzam Ghazali berkata, pembangunan majlis itu meneruskan kegemilangan pondok tersebut yang pernah menjadi teras pendidikan Islam di Kelantan.
Malah menurutnya, sistem pendidikan pondok ditambah baik kepada tiga bahagian iaitu umumi membabitkan pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK), selain khususi dan nizami.
“Kelas nizami terbuka kepada semua, terbuka juga kepada pelajar dan penduduk, tidak perlu berdaftar kerana ia kelas kitab pengajian kitab umumi Maghrib dan Isyak setiap hari.
“Manakala khususi terbuka khususnya kepada asatizah dari pondok lain seperti Tumpat, Pasir Tumboh dan sebagainya tumpu tempat kita, tetapi ia terbuka juga kepada orang awam,” katanya.
Dalam pada itu Muhammad Azzam, bekas tenaga pengajar di Maahad Sains Tok Guru berkata, Sullamiah turut menerapkan pengajian kitab turath, tanpa menganggu silibus pendidikan.
Menurutnya, setiap hari selama 30 minit, bermula 7:30 pagi semua pelajar diwajibkan menghadiri kelas kitab turath seperti kitab ‘Penawar Bagi Hati’ selain kitab akidah, ‘Aqidatul Awam’.
Beliau berkata, pihak pentadbiran sekolah mengambil inisiatif itu bagi memupuk kesedaran generasi muda khususnya terhadap kepentingan institusi tersebut di Kelantan.
“Kita ada kelas pengajian kitab turath, kitab ‘Penawar Hati’, ‘Akidatul Awam’ dan kita sudah khatam dua kali, insyaAllah tahun depan kita akan tukar kitab ‘Muniatul Musoli’ setiap pagi.
“Ini inisiatif kita sendiri dan kita tidak menganggu jadual pembelajaran rasmi di sekolah Sullamiah begitu juga di madrasah pun tidak menganggu pembelajaran di Sullamiah,” katanya.
Madrasah Ahmadiah Pondok Bunut Payong ditubuhkan pada tahun 1931 oleh almarhum Tuan Guru Abdullah Tahir yang pernah menjadi salah satu pusat pengajian terkenal di Kelantan.
Ketika era kegemilangannya, ratusan pelajar dalam negara dan rantau nusantara datang menimba ilmu agama selain ratusan pondok kecil yang membentuk sebuah kawasan perkampungan disusun rapi.
Kini walaupun pondok sudah tiada dengan pemergian tuan guru, namun pembangunan ilmu agama diwarisi melalui SMU Sullamiah dan Majlis Tafaqquh Madrasah Ahmadiah Pondok Bunut Payong. – HARAKAHDAILY 25/12/2024











