Desak tindakan tegas penganjuran tarian lucah

Wan Abu Bakar (berjubah) mengetuai serahan memorandum
- Advertisement -

TANAH MERAH:  Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanah Merah melahirkan rasa dukacita di atas penganjuran majlis makan malam tahunan sebuah syarikat di sini yang berbaur lucah.

- Advertisement -

Ketuanya, Wan Abu Bakar Wan Mahusin berkata, pihaknya melahirkan bantahan keras terhadap penganjuran tarian berkenaan yang diadakan sempena majlis tahunan tersebut.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai mencabar kredibiliti Kerajaan Negeri Kelantan dan melanggar budaya masyarakat setempat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Katanya, meskipun syarikat terlibat merupakan pelabur di negeri Kelantan, ia tidak seharusnya dijadikan tiket untuk mereka mengadakan acara yang bercanggah dengan nilai moral masyarakat.

Apatah lagi bidasnya, acara tersebut diadakan di sebuah sekolah yang sepatutnya menjadi institusi pendidikan.

“Acara seperti ini jelas tidak wajar, terutama di Kelantan yang hampir 100 peratus penduduknya adalah umat Islam.

“Tarian lucah ini mencemar institusi agama dan tempat mencari ilmu. Ia adalah suatu perkara yang amat dikesali,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan himpunan aman membantah penganjur.

Hampir 30 orang hadir pada himpunan aman berkenaan yang diadakan di luar Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah, di sini kelmarin.

Sempena himpunan itu juga Abu Bakar turut menyerahkan memo kepada wakil Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah yang juga Timbalan Ketua Jajahan, Mohd Rosli Mohmed.

Menurutnya, penganjuran tarian tersebut turut dihadiri pekerja-pekerja syarikat berkenaan yang terdiri daripada golongan Melayu beragama Islam.

Katanya, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pengaruh budaya songsang yang boleh merosakkan nilai murni dalam masyarakat.

Wan Abu Bakar menegaskan, pihak berkuasa harus mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap pihak terlibat.

“Kami bukan bertujuan untuk menyerang, tetapi kami ingin menunjukkan kebersamaan dan solidariti rakyat Kelantan yang berpegang pada prinsip agama dan moral.

“Hari ini kami menyerahkan satu memo rasmi kepada pihak berkuasa untuk memastikan teguran keras dikenakan kepada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Menurut beliau, memo tersebut meminta pihak berkuasa menegur penganjur acara itu dengan keras dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya, berdasarkan Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998.

“Ini bukan sahaja soal moral, tetapi juga soal undang-undang yang telah lama menjadi amalan masyarakat di Kelantan.

“Kami tidak mahu permohonan maaf semata-mata tanpa tindakan tegas. Ini kerana, jika tidak diambil tindakan, kemungkinan mereka akan mengulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanah Merah, Mohd Farhan Shamsuddin, turut menggesa pihak berkuasa tidak hanya menerima permohonan maaf daripada pihak penganjur.

Tetapi tegas beliau, mereka perlu memastikan tindakan yang lebih serius diambil untuk mengelakkan kejadian serupa berlaku lagi.

“Ini adalah satu perkara yang amat dukacita dan ia perlu diberi perhatian serius.

“Tindakan undang-undang perlu diambil untuk memberi peringatan kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menjalankan aktiviti yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” ujarnya.

Sebelum ini tular rakaman video memaparkan wanita sedang memperagakan tarian gelek pada satu majlis di sebuah sekolah di sini. – HARAKAHDAILY 25/12/2024

- Advertisement -