
KOTA BHARU: Penubuhan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Sullamiah Bunut Payong merupakan hasrat almarhum Tuan Guru Abdullah Tahir membangunkan tradisi pembelajaran agama secara komprehensif.
Kini sekolah itu dikelola Yayasan Islam Kelantan (YIK), bahkan keluarganya turut mewujudkan Majlis Tafaqquh Madrasah Ahmadiah Pondok Bunut Payong mengintegrasikan sistem pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan terhadap sebarang usaha untuk mengembalikan kegemilangan pondok tersebut.
“Tok Guru pernah berpesan supaya dibuat satu sekolah di samping pondok, untuk belajar sistem pendidikan pondok dan sistem pendidikan di bawah kerajaan dan YIK dengan silibus pendidikan agama.
“Kita sentiasa memberi sokongan kepada usaha ini dan sekarang ini dengan kerjasama ahli keluarga tuan guru, dia sedang menghidupkan kelas pengajian agama dari kitab turath, kitab lama,” katanya.
Bercakap ketika ditemui di pejabatnya semalam, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kota Bharu itu menjelaskan pihaknya kini sedang berusaha mewujudkan tingkatan enam rendah di sekolah tersebut.
Menurutnya sehingga kini pelajar belajar sehingga Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) sahaja, tetapi jika ada yang mahu meneruskan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kena pergi sekolah lain.
Antara sekolah sekitar Kota Bharu yang menjadi pilihan pelajar Sullamiah ujar beliau, seperti Maktab Pengajian Islam (MPI), Maahad Muhammadi Lelaki (MML) dan Maahad Muhammad Perempuan (MMP).
“Sebelum ini saya AJK PIBG sekolah, kita setuju untuk mengadakan tingkatan enam rendah mengambil STAM, saya pernah suarakan benda ini kerajaan memberi jawapan sedang meneliti cadangan ini.
“Pelajar terbaik Sullamiah tetapi apabila pergi ambil STAM di sekolah lain dia cemerlang juga, sekolah itu dapat nama, guru-guru tak melihat hasil kerja mereka, kita tak mahu begitu,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/12/2024












