
KOTA BHARU: Tindakan tegas terhadap penganjuran program hiburan tanpa permit perlu dilakukan kerana ia jelas melanggar undang-undang.
Pakar Penasihat Wanita Kelantan, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, semua pihak perlu menghormati sensitiviti agama dan nilai budaya tempatan.
Katanya, aktiviti itu melanggar Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998 yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
“Hukuman suatu kaedah pendidikan supaya masyarakat hidup aman tanpa diganggu gugat anasir tidak sihat,” katanya di sini.
Baru-baru ini, tular video di TikTok berdurasi setengah minit memaparkan seorang wanita beraksi tarian gelek dengan berpakaian seksi pada majlis makan malam di dewan sebuah sekolah Cina di Tanah Merah.
Dr Zulkeflee berkata, biarpun ramai sudah mengetahui undang-undang berkaitan hiburan, namun aktiviti tersebut masih berlaku di Kelantan.
“Mungkin ada kelompok masyarakat gagal adaptasi dengan persekitaran dan penduduk setempat yang lebih 95 peratus beragama Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/12/2024











