
BAITULMAQDIS: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz akhirnya memberikan pengakuan terbuka bahawa pihak Israel telah melakukan pembunuhan ke atas Ketua Biro Politik HAMAS, Syeikh Ismail Haniyeh di Tehran tengah tahun ini.
Pengakuan yang sekali gus mengesahkan kenyataan terdahulu disebut Presiden PAS, Iran dan HAMAS itu diungkap Katz ketika memberi amaran bahawa tenteranya akan ‘memenggal’ kepimpinan pejuang Islam Houthi di Yaman.
“Kami akan menyerang Houthi dengan keras… dan memenggal kepimpinan mereka — seperti yang kami lakukan terhadap (Ismail) Haniyeh, (Yahya) Sinwar, dan (Hassan) Nasrallah di Tehran, Gaza, dan Lubnan.
“Kami akan melakukan perkara yang sama di Hodeida dan Sanaa,” kata Katz, pada Isnin seperti dilaporkan AFP.
Kenyataan beliau dalam satu acara di kementerian pertahanan itu menandakan pengakuan pertama secara terbuka bahawa Israel terlibat dalam pembunuhan Haniyeh pada akhir Julai di Tehran.
“Sesiapa yang mengangkat tangan terhadap Israel akan kehilangan tangannya, dan lengan panjang IDF (tentera Israel) akan menyerangnya dan membawanya ke muka pengadilan,” kata Katz, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian tersebut.
Sebelum ini, Israel tidak pernah mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan Haniyeh, namun Iran dan HAMAS menyalahkannya atas kematian pemimpin politik HAMAS itu.
Haniyeh, selaku ketua usaha rundingan HAMAS untuk gencatan senjata di Gaza, dibunuh di sebuah rumah tetamu di Tehran pada 31 Julai, dilaporkan dari peranti letupan yang dipasang oleh ejen Israel beberapa minggu sebelumnya.
Sehari sebelum itu, Haniyeh menghadiri majlis perasmian Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Pada 27 September, Israel membunuh Nasrallah dalam satu pengeboman di Beirut, diikuti dengan pembunuhan pengganti Haniyeh, Sinwar, pada 16 Oktober di Gaza.
Pegawai Israel berkata ,Sinwar merancang serangan oleh HAMAS pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, yang mencetuskan peperangan berterusan di Gaza.
Terdahulu pada 31 Julai, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan, mengecam pembunuhan Haniyeh oleh Israel di Tehran yang disifatkannya sebagai tindakan pengecut dan jenayah perang.
Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menegaskan sokongan PAS terhadap perjuangan Palestin yang tidak akan berhenti.
PAS turut menyeru seluruh dunia agar bersatu mengecam kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 24/12/2024











