Prabowo demam, atau naratif tidak menjadi?

- Advertisement -

KELMARIN, Perdana Menteri kita mendakwa bahawa pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, terpaksa dibatalkan kerana Prabowo dikatakan ‘demam’. Namun, kenyataan daripada Pejabat Presiden Indonesia dengan tegas menafikan dakwaan tersebut: Prabowo tidak demam. Penafian ini bukan sahaja mengejutkan, tetapi turut mencetuskan persoalan: adakah kita sedang menyaksikan pemimpin yang gemar mereka-reka cerita?

Lebih menarik, ia mengundang satu soalan sarkastik lain: adakah ini nasihat pertama Thaksin kepada Datuk Seri? Jika benar, nampaknya ‘nasihat’ tersebut tidak bermula dengan baik.

Naratif lemah, implikasi besar

Dalam hubungan diplomatik, kenyataan pemimpin sesebuah negara membawa makna besar. Sebarang kenyataan yang tidak tepat atau tergesa-gesa bukan sahaja memalukan diri sendiri, tetapi juga mencalarkan reputasi negara. Dalam kes ini, kenyataan mengenai ‘demam’ Prabowo nampaknya tidak lebih daripada sebuah naratif lemah yang mudah dipatahkan oleh fakta.

Bukankah lebih baik untuk menyatakan kebenaran? Jika pertemuan dibatalkan atas sebab tertentu, rakyat tidak memerlukan cerita tambahan yang akhirnya memakan diri. Rakyat mahukan kejujuran, bukan alasan dramatik yang mencetuskan keraguan.

- Advertisement -

Rakyat malu, negara terpalit

Pejabat Presiden Indonesia bertindak pantas mengeluarkan kenyataan untuk menafikan dakwaan ‘demam’ ini, menunjukkan betapa seriusnya mereka menjaga integriti pemimpin mereka. Sebaliknya, tindakan pemimpin kita mencipta alasan seperti ini hanya menyebabkan rakyat Malaysia merasa malu. Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia yang sepatutnya erat kini dicemari dengan kekeliruan yang tidak perlu.

Apa yang lebih menyedihkan ialah kesan terhadap kredibiliti negara. Bila kenyataan rasmi pemimpin kita boleh dipersoalkan, bagaimana pemimpin serantau lain dapat mempercayai Malaysia dalam urusan lebih besar? Adakah kita mahu dikenali sebagai negara yang suka mencipta cerita atau sebagai rakan diplomatik yang boleh diandalkan?

Pemimpin atau tukang cerita?

Persoalan lebih besar ialah: adakah ini satu kes terpencil, atau kita sebenarnya sedang dipimpin oleh seseorang yang gemar mencipta naratif yang tidak berpijak pada realiti? Episod ini seharusnya membuka mata rakyat bahawa pemimpin yang mereka pilih mesti mengutamakan kejujuran dan ketelusan. Jika perkara mudah seperti ini pun dijadikan bahan cerita, bagaimana dengan isu-isu yang lebih kompleks?

Belajarlah daripada Santa Claus

Akhir kata, jika mahu mencipta cerita, buatlah cerita yang bermakna. Santa Claus, walaupun sekadar watak dongeng, dikenang kerana membawa kegembiraan dan inspirasi. Sebaliknya, naratif ‘Prabowo demam’ ini tidak membawa apa-apa kecuali rasa malu kepada rakyat Malaysia. Sudah tiba masanya untuk pemimpin kita berhenti mereka-reka cerita dan mula membina kepercayaan rakyat dengan kejujuran, bukan imaginasi.

Selamat cuti Krismas, Datuk Seri.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 24/12/2024

- Advertisement -