
KEPALA BATAS: Kerajaan Pulau Pinang digesa agar segera mengambil tindakan bagi pembinaan jajaran atau ‘fly over’ dari Juru ke Sungai Dua untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali berkata, isu itu sudah dibangkit bukan sahaja oleh ADUN-ADUN pembangkang, tetapi juga oleh pihak kerajaan.
“Isu pembinaan jajaran ini bukan isu baru tetapi telah disebut dalam beberapa Sidang DUN yang lalu. Jajaran itu bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku bermula dari Sungai Dua hingga ke Batu Kawan.
“Tetapi juga membantu mempermudahkan pergerakan pengguna jalan raya serta lebih cepat,” jelasnya kepada Harakahdaily pada temubual ringkas di sini, kelmarin dahulu.
Tegasnya lagi, beliau mengharapkan perkara itu mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan negeri, untuk kebaikan semua pihak.
Dalam pada itu, Bukhori menambah, isu membabitkan Tol Sungai Nyior, Butterworth juga antara yang menjadi perhatian ADUN Perikatan Nasional (PN) dan rakyat, ketika ini
“Sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu, pemimpin DAP berjanji akan menghapuskan tol berkenaan, tetapi apabila telah menang dan membentuk kerajaan di Pulau Pinang, janji itu tidak dilaksanakan.
“Timbul pula alasan, kononnya kerajaan negeri tidak boleh bertindak kerana perkara itu atas bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, sedangkan sekarang ini yang menerajui Persekutuan dan Negeri adalah dari kelompok yang sama,” bidas beliau.
Katanya lagi, rakyat menuntut janji tersebut tetapi sehingga ke hari ini belum dilaksanakan.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, menegaskan, pihaknya bukanlah menidakkan kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk pembangunan dan rakyat.
Contoh ujar beliau, seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025, antaranya menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, pembinaan LRT di Pulau Pinang, termasuk juga pembinaan jajaran dari Juru ke Sungai Dua.
Namun, beliau berharap agar semua yang dikemukakan itu dapat dilaksanakan mengikut jadual agar manfaatnya membantu memudahkan urusan semua pihak termasuk rakyat jelata.
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan rasa kesalan berkenaan isu projek terowong dasar laut yang menjadi perhatian semua pihak sebelum ini.
“Semua tahu berkaitan isu terowong itu, saya pun tidak berhajat untuk mengulangnya semula, tetapi yang kita nak bangkit adalah berkenaan kajian yang menelan kos yang tinggi.
“Projek itu sekarang dah senyap, tak jadi, kajian tak ke mana,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 13/12/2024











