
KUALA LUMPUR: Kelewatan dalam proses pertukaran penempatan guru, terutamanya di sekolah-sekolah yang kritikal kekurangan guru perlu ditangani segera.
Begitupun, Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengucapkan tahniah kepada menteri atas usaha-usaha yang telah dilakukan.
Namun, beliau menekankan bahawa masih terdapat kelewatan dalam proses pertukaran guru.
“Jadi saya nak tanya apakah langkah yang diambil oleh Kabinet untuk menambah baik prosedur pertukaran penempatan guru bagi memastikan proses ini lebih efisien dan juga adil,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Kamal turut menyoroti satu kes di Sungai Nerek di mana seorang guru telah pencen sejak Mac 2024 tetapi masih belum mendapat pengganti sehingga kini.
Selain itu, beliau meminta penjelasan mengenai matrik atau indikator yang digunakan untuk menilai kejayaan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kementerian.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau mengambil maklum pandangan dan persoalan yang dibangkitkan mengenai proses eGTukar yang melibatkan perpindahan guru.
Proses itu, menurutnya dibuka sepanjang tahun tanpa sekatan, namun perpindahan mesti berlaku semasa cuti sekolah. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











