Siasat insiden jenazah bayi disimpan dalam peti sejuk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menyiasat insiden jenazah bayi lelaki, Mohamad Adam Mikail, yang dilaporkan terpaksa disimpan di dalam peti sejuk beku selama dua minggu akibat kegagalan ibu bapanya melunaskan bil hospital bersalin sebanyak RM3,600. 

- Advertisement -

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang amat menyayat hati dan tidak seharusnya berlaku.

Beliau menyeru tindakan tegas dikenakan terhadap pihak pengurusan hospital swasta terbabit yang dikenal pasti beroperasi di Klang. 

“Kalau kita lihat yang tertera dalam laman Instagram Mr Wan Chai Official ini. Amat menyayat hati, dua minggu jasad seorang kanak-kanak bayi dibiarkan dalam peti sejuk.

“Sebagai umat Islam kita tahu adalah satu fardu kifayah buat kita menyegerakan pengebumian mana-mana jenazah dan tak sepatutnya benda ni berlaku di sebuah negeri yang kaya dengan sumber iaitu negeri Selangor.

“Kenapa pihak pengurusan hospital boleh dan izinkan perkara ini berlaku ke atas jenazah umat Islam seorang bayi?” soalnya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff. (Foto atas)

Fayhsal berkata, sebagai seorang bapa, beliau turut merasai kepedihan yang dialami oleh ibu bapa arwah.

“Insiden ini mencerminkan keperluan sistem kesihatan yang lebih berperikemanusiaan dan adil,” katanya.

Untuk rekod, kejadian itu mula mendapat perhatian selepas perkongsian di laman Instagram oleh seorang sukarelawan pengendali van jenazah, Wan Chai Official, yang membantu menguruskan jenazah bayi tersebut. 

“Jadi kami di sini menuntut kerajaan untuk menyiasat sehingga ke lubang cacing, apa sebenarnya telah berlaku dan perlu dikenakan tindakan tatatertib dan undang-undang kepada pihak pengurusan hospital pada mana-mana yang bertanggungjawab menguruskan kes ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2024

- Advertisement -