
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 memerlukan penelitian dan perincian lebih mendalam oleh kerajaan bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan agar tidak menjejaskan kebebasan bersuara.
“Tafsiran kandungan memudaratkan yang dinyatakan dalam Jadual Pertama terlalu luas dan tidak memenuhi standard yang perlu menurut dari segi undang-undang domestik dan antarabangsa,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau turut membangkitkan persoalan berhubung perenggan lapan dalam Jadual Pertama yang menyebut kandungan yang boleh ‘mengundang perasaan jahat atau permusuhan dalam kalangan orang awam dan mengganggu ketenangan orang awam’.
“Apakah yang dimaksudkan dengan perasaan jahat atau permusuhan dalam perenggan ini kerana ia terlalu subjektif dan boleh membawa tafsiran yang berbeza dan pelbagai.
“Maka, seharusnya setiap perenggan dalam akta perlu mengelakkan menggunakan frasa yang kabur dan tidak jelas,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar kerajaan dapat mengambil kira pandangan Ahli Parlimen dan memastikan RUU itu diperbaiki sebelum diluluskan. – HARAKAHDAILY 11/12/2024











