RUU Keselamatan Dalam Talian perlu telus, elak pertindihan

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) menegaskan perlunya ketelusan dan penyelarasan dalam penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 bagi memastikan keberkesanan serta mengelak pertindihan perundangan. 

- Advertisement -

Beliau menyatakan kebimbangan mengenai pelaksanaan undang-undang itu, khususnya dalam isu melibatkan keselamatan pengguna, pelantikan jawatankuasa, serta pemantauan kandungan memudaratkan.

Menurutnya, pandangan pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU), perlu diberi perhatian dalam proses advokasi. 

“Apakah jaminan kerajaan terhadap tahap keberkesanan dan akauntabiliti penguatkuasaan undang-undang ini?

“Berapakah jumlah kes keselamatan dalam talian yang telah dilaporkan sepanjang lima tahun kebelakangan ini?” soal beliau ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat. 

Beliau turut menekankan kepentingan mekanisme yang telus dalam pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa seperti dinyatakan dalam Seksyen 5(2)(a) serta kejelasan istilah ‘kekerapan’ mesyuarat jawatankuasa di bawah Seksyen 11(1). 

“Jika tidak ada kejelasan, mangsa atau pengguna aplikasi yang tertekan emosinya mungkin bertindak di luar kawalan, termasuk mencederakan diri sendiri,” katanya. 

Selain itu, beliau menggesa penyelarasan undang-undang baharu itu dengan akta sedia ada seperti Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengelakkan pertindihan teknikal, penguatkuasaan, dan hukuman. 

Ahmad Fakhruddin turut menyeru kerajaan memperkukuhkan perlindungan kanak-kanak sebagai pengguna aplikasi dalam talian, seperti dinyatakan dalam Seksyen 18, agar objektif utama menjaga keselamatan pengguna dapat dicapai. – HARAKAHDAILY 11/12/2024

- Advertisement -