Permudah sistem rekod untuk badan kebajikan kecil

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan memperkenal sistem pemfailan dalam talian yang mudah bagi memudahkan badan kebajikan kecil, termasuk surau kampung, memenuhi kewajipan menyimpan rekod seperti yang termaktub dalam Fasal 3 Seksyen 44D.

- Advertisement -

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, kewajipan menyimpan rekod lengkap dan terkini adalah langkah baik dalam memastikan ketelusan, tetapi badan kebajikan kecil mungkin menghadapi kesukaran untuk mematuhi keperluan ini akibat kekurangan tenaga mahir.

“Saya mencadang supaya kerajaan boleh menyediakan sistem pemfailan dalam talian yang mudah seperti aplikasi e-Amanah di mana surau ataupun badan kecil hanya perlu mengisi borang asas secara digital sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemegang Amanah (Pindaan) 2024, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Marzuk turut menyarankan agar kerajaan memberikan pengecualian kepada badan kebajikan kecil, seperti madrasah dan surau, daripada keperluan menyediakan laporan lengkap seperti yang dikehendaki dalam pindaan Fasal 3 Seksyen 44C(4). 

Beliau berkata, institusi kecil yang bergantung kepada sukarelawan mungkin tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan laporan penuh kerana kekangan sumber. 

“Saya cadangkan supaya memberi pengecualian kepada badan-badan kecil contohnya madrasah dengan dana bawah daripada RM50,000 setahun sebagai alternatif mereka hanya diwajibkan menghantar penyata ringkas tahunan saja. Ini memudahkan pemegang amanah yang kecil-kecil seperti surau dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2024

- Advertisement -