
KUALA LUMPUR: Rang undang-undang yang dicadangkan seharusnya mengambil pendekatan reka bentuk operasi yang sesuai seperti yang dilakukan di United Kingdom.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, pendekatan itu dikehendaki platform yang menyediakan kawalan mesra kanak-kanak itu sendiri terutama tetapan privasi automatik.
“Kawalan ibu bapa yang jelas, pengiklanan diharamkan dan tiada ciri ‘AutoPlay’ dan ‘Algoritma’ yang menyebabkan kanak-kanak terus menonton atau bermain juga perlu dimansuhkan.
“Kita perlu fokus kepada isu ini dan saya rasa kalau kita fokus kepada isu ini sahaja, ia tidak ada sebarang masalah, tetapi dimaksudkan pula dengan takrifan kandungan memudaratkan yang kabur dan subjektif.
“Siapa yang boleh mentakrifkannya? Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau menteri? Kita juga menjadi mangsa fitnah,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, turut menyuarakan mengenai fitnah yang diterima oleh Perikatan Nasional (PN) dan PAS di media sosial, serta meminta kerajaan memberikan jaminan bahawa fitnah tersebut tidak akan berterusan.
“Ada orang memulakan fitnah bahawa PN terima dana judi tetapi diheret dalam media sosial, segala macam, siaran Internet dan sehingga ke hari ini, bagaimana kami nak pertahankan diri dengan kuat kuasa internet yang ada pada hari ini?
“PAS juga pernah difitnah terima RM90 juta daripada Umno yang sampai sekarang ini tidak dapat dibuktikan. Macam mana undang-undang yang ada ini dapat membela kami sebagai mangsa fitnah yang berlaku pada hari ini,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar rang undang-undang itu ditarik balik dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk proses konsultasi awam. – HARAKAHDAILY 11/12/2024











