
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan perlu memberi perhatian yang serius terhadap aktiviti basikal lajak yang semakin membimbangkan, memandangkan ia berpotensi membahayakan keselamatan awam.
Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) berkata, baru-baru ini, tujuh kanak-kanak ditahan polis akibat terlibat dalam aktiviti basikal lajak di Pulau Pinang, yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Apakah pihak kementerian mengkaji keperluan memantau trend basikal lajak seluruh negara menerusi SOP khusus jika ada SOP khusus, selain pematuhan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Azman turut menegaskan keperluan untuk kementerian melakukan pemantauan lebih ketat terhadap pemandu yang terlibat dalam pemanduan berbahaya.
“Adakah kementerian melakukan pemantauan secara CCTV terhadap tabiat pemandu kita yang memandu secara merbahaya? Dan adakah pihak kementerian bersedia mengambil tindakan dengan membuat penahanan secara pengesanan tempat tinggal, pemandu-pemandu yang bertabiat buruk ini?” soalnya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kaedah penguatkuasaan undang-undang terhadap basikal lajak adalah di bawah peraturan lalu lintas.
“Jadi perkara ini memang dipantau senantiasa, namun keadaan begini ini kadang-kadang kita tengok seperti tikus dengan kucing, ada penguatkuasa dia lari atau mereka jadi budak baik. Pemantauan memang diteruskan tidak ada hentinya,” katanya.
Mengulas mengenai pemantauan pemandu yang terlibat dalam pemanduan berbahaya, Hasbi berharap pengenalan sistem Nombor Plat Automatik (ANPR) dapat memperkukuh pemantauan terhadap pengguna jalan raya, termasuk pemandu kenderaan dan motosikal yang melanggar undang-undang.
“Mudah-mudahan dengan hasrat kita untuk mengadakan ANPR ini kereta dan juga motosikal akan disimpan data-data dan di mana tempat tinggal dan pengguna dan sebagainya.
“Melalui kaedah ini kita berharap perkara-perkara ini akan menjadi suatu melengkapkan lagi data kita tentang pemunya (kenderaan) dan termasuklah mereka yang melanggar undang-undang di atas jalan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2024











