
KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), menyeru semua pihak untuk menghormati sistem pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat global, sambil mengelakkan kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham atau kontroversi.
Beliau mengulas mengenai isu yang timbul susulan kenyataan Ahli Parlimen (MP) Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mengenai pensijilan halal yang dikatakan mencemar reputasi negara.
“Saya minta maaf, saya nak quote sikit apabila kontroversi melibatkan Seputeh yang menyatakan bahawa persijilan halal ini jika diwajibkan kepada semua akan memalukan negara. To be fair lah, Seputeh telah menafikan maksud Seputeh itu.
“Tetapi apabila ia disebut, ia merencat ataupun ia menggamit kontroversi yang akhirnya rakyat memahaminya mungkinlah dalam konteks yang tidak sepatutnya.
“Jadi saya berharap supaya apabila kenyataan-kenyataan seperti ini dapatlah kita cuba untuk elakkan menyentuh isu-isu seperti ini kerana pensijilan halal ini mempunyai sejarah dan sentimental valuenya yang tersendiri yang saya harap ia dapat dihormati oleh semua pihak dalam negara kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi bertajuk Perkembangan Kewangan Islam dan juga Hala Tuju Industri Halal di Dewan Rakyat hari ini.
Keperluan perkukuhkan kewangan Islam dan industri halal
Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut melahirkan rasa kecewa terhadap sumbangan kewangan Islam yang hanya menyumbang satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meskipun Malaysia diiktiraf sebagai hab kewangan Islam global.
Beliau menegaskan perlunya usaha lebih komprehensif untuk memperluaskan peranan kewangan Islam dalam ekonomi negara.
“Ia amat mengecewakan, memandangkan Malaysia dikenali sebagai hub kewangan Islam global. Jadi kenapa sumbangan kewangan Islam kepada KDNK ini masih rendah. Walaupun negara punyai potensi yang besar,” ujarnya.
Proses pensijilan halal perlu dipertingkat
Ahmad Fadhli turut menyentuh kelemahan dalam proses pensijilan halal yang memakan masa sehingga sembilan bulan di Malaysia, berbanding hanya tiga hingga empat bulan di Thailand.
“Industri halal Malaysia ini ketinggalan berbanding Indonesia dan Thailand. Saya ambil contoh Indonesia telah berjaya meningkatkan eksport halal produk halal mereka kepada USD10 bilion pada tahun 2023. Eksport halal Thailand mencatatkan USD6 bilion.
“Sebaliknya eksport produk halal Malaysia hanya mencapai sekitar RM56 bilion iaitu sekira-kira USD12 bilion. RM56 bilion. Peningkatan ini tidak seimbang dengan potensi besar yang dimiliki Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal global,” jelasnya.
Beliau menggesa kerajaan mengadaptasi teknologi automasi digital untuk mempercepatkan proses pensijilan. – HARAKAHDAILY 11/12/2024











