
KANGAR: Semua ketua jabatan dan penjawat awam diingatkan supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Perlis dalam setiap keputusan dan tindakan.
Fakhrul Anwar Ismail (PN-Bintong) berkata, garis panduan yang disediakan adalah berdasarkan rujukan kepada pihak berkeahlian dan perlu dihormati demi mendukung aspirasi kerajaan yang memerintah.
“Kerajaan ini ada garis panduan, ketua-ketua jabatan perlu rujuk kepada yang berkeahlian dan patuh kepada garis panduan tersebut. Kita juga perlu hormati kerajaan yang berkuasa, government of the day,” katanya.
Beliau berucap demikian semasa membahaskan Belanjawan Perlis 2025 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pagi ini.
Beliau turut menegur beberapa insiden pelanggaran garis panduan dalam persembahan kebudayaan, termasuk pemakaian pakaian yang tidak sopan dan mendedahkan aurat.
“Kita sudah berikan panduan jelas, tetapi masih ada yang melanggar. Apabila ditegur, mereka memberikan alasan sebagai ‘escapism’. Ini adalah tindakan yang tidak menghormati garis panduan dan fatwa,” tegas beliau.
Fakhrul Anwar juga menyentuh mengenai pembinaan replika ikan lumba-lumba di Jalan Pesisir Pantai Kurong Tengar 2, yang menurutnya bertentangan dengan hukum Islam.
Beliau berharap agar usaha kerajaan negeri menerusi inisiatif seperti Perlisku Bestari Anjung Madinah dapat membawa keberkatan kepada rakyat Perlis, sambil menyeru agar semua pihak mendukung nilai-nilai Islam dalam pentadbiran.
“Mudah-mudahan Allah memberkati Negeri Perlis dan rakyatnya sebagaimana Allah memberkati Madinah dan penduduknya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/12/2024











