
KUALA LUMPUR: Pengumuman mengenai kriteria dan definisi golongan T15 yang akan terlibat dalam pelaksanaan subsidi bersasar perlu dipercepatkan.
Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, ketidakjelasan mengenai definisi T15 akan menimbulkan persoalan besar, terutama bagi mereka yang mungkin tidak tersenarai sebagai penerima subsidi.
“Apakah jangka masa untuk kerajaan mengumumkan kriteria atau definisi T15? Selain itu, adakah mereka yang tidak termasuk dalam T15 akan dimaklumkan lebih awal kerana melibatkan kos yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Radzi yang juga Ketua Portfolio Kewangan Perikatan Nasional (PN) berkata, kerajaan perlu mengambil kira cabaran ekonomi global dan domestik dalam melaksanakan subsidi bersasar termasuk kesan perubahan politik di Amerika Syarikat.
“Berdasarkan analisa semasa apakah kerajaan melihat bahawa pelaksanaan subsidi bersasar ini akan memberi kesan yang lebih besar kepada kos sara hidup rakyat.
“Selain itu, apakah perkembangan terkini tentang kaedah pelaksanaan subsidi bersasar di stesen-stesen minyak seluruh negara?” katanya.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli, yang menjawab pertanyaan itu berkata kementeriannya akan menjalankan kajian terperinci bagi memastikan setiap keputusan dasar tidak memberi tekanan kepada kadar inflasi negara.
Dalam soalan asal, Radzi meminta Menteri Ekonomi menyatakan bilakah subsidi bersasar bagi petrol akan dilaksanakan dan menjelaskan apakah pendekatan yang akan diambil kementerian bagi memastikan golongan yang terkesan menerima bantuan sewajarnya. – HARAKAHDAILY 10/12/2024











