
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menjelaskan tindakan pembungkusan semula bantuan di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membolehkan semua mangsa banjir menerima keperluan masing-masing.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sesetengah sumbangan disampaikan individu dan badan bukan kerajaan (NGO) tidak dapat memenuhi jumlah penghuni di PPS.
Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa bantuan terbabit dibungkus semula oleh petugas di PPS selepas sumbangan sampai di PPS diagihkan mangsa yang benar-benar memerlukan.
“Sebagai contoh baru-baru ini ada isu kenapa terpaksa ‘re-pack’ balik sebab penghuninya ada 600 keluarga, barang sampai 200, kalau nak bagi 200, (maka) 200 keluarga sahaja terima, yang lain macam mana?
“Jadi untuk berlaku adil kepada semua, terpaksa ‘re-pack’ agar semua dapat bantuan walaupun sedikit, banyak kita kongsikan satu seorang, sedikit kita terpaksa pecah-pecahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan banjir oleh Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa di perkarangan Masjid al Ismaili Pasir Pekan, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim dan Timbalan Pengerusi Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa, Aida Lim Abdullah.
Sumbangan tersebut membabitkan 500 unit tilam pelbagai saiz, 850 unit bantal, 1,000 pek makanan kepeluan asas dan air mineral kepada penduduk terjejas di Tumpat, Rantau Panjang dan Pasir Mas.
Tular sebelum ini di media sosial mengenai sumbangan oleh pempengaruh terkenal, Khairul Aming yang didakwa tidak disalurkan dengan adil dalam salah sebuah PPS Sekolah Kebangsaan Tumpat 1.
Hantaran tersebut dibuat oleh salah seorang mangsa banjir ditempatkan di lokasi tersebut yang mendakwa barangan keperluan harian itu dibungkus semula oleh pengurusan PPS sebelum diagihkan. HARAKAHDAILY 10/12/2024












