Kerajaan Negeri Perlis perkenal Skim Kafalah

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis memperkenalkan Skim Kafalah sebagai inisiatif baharu dalam Belanjawan 2025 untuk memperkukuh kebajikan rakyat, terutama golongan rentan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, skim ini bertujuan menyediakan bantuan khairat kematian kepada waris si mati tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

“Sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif ini. Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM7.84 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu lebih 2,600 penerima bantuan.

“Termasuk keluarga kurang berkemampuan, ibu tunggal, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas. Kadar bantuan sedia ada juga dinaikkan, seperti Bantuan Am yang kini mencecah maksimum RM800 sebulan hasil tambahan sebanyak RM400 yang diperkenankan oleh Raja Muda Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2025 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Ujarnya lagi, langkah lain termasuk menaikkan kadar maksimum bantuan pemulihan bencana daripada RM7,000 kepada RM9,000 dan kadar bantuan membaiki rumah daripada RM3,000 kepada RM5,000.

“Inisiatif pembangunan wanita, keluarga, dan masyarakat turut mendapat perhatian dengan peruntukan sebanyak RM100,000, di samping RM100,000 lagi untuk perlindungan sosial bagi golongan bersasar.

“Bagi memastikan kemudahan untuk semua lapisan masyarakat, kerajaan meneruskan pembinaan krematorium bagi penduduk bukan Islam,” ujarnya lagi.

Mohd Shukri menegaskan, langkah-langkah itu mencerminkan komitmen Perlis untuk menjadi negeri berkebajikan yang inklusif dan harmoni. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

- Advertisement -